E-Syariah

PENGENALAN E-SYARIAH

E-Syariah ialah sebuah projek Kerajaan Elektronik ketujuh di bawah Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia (MSC). Ia merupakan satu sistem pengurusan kes yang bersepadu yang mengintegrasikan semua proses terlibat dalam pengendalian kes-kes Mahkamah Syariah.

Dengan terbinanya E-Syariah, maka wujudlah satu rangkaian elektronik yang menghubungkaitkan semua Mahkamah Syariah di seluruh negara dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta agensi-agensi yang berkaitan bagi tujuan penyelarasan dan perkongsian maklumat. Dilancarkan pada pertengahan tahun 2002, projek ini dibuat secara berperingkat dan dijangka akan selesai pada tahun 2005.

VISI E-SYARIAH

Memertabatkan Kehakiman Syariah Malaysia.

OBJEKTIF E-SYARIAH
  • Mempertingkatkan mutu perkhidmatan Mahkamah Syariah.
  • Mempertingkatkan keberkesanan JKSM dalam menyelaras dan memantau agensi-agensi di bawahnya.
  • Meningkatkan produktiviti dan keberkesanan pengurusan Mahkamah Syariah di seluruh Negara.
  • Memartabatkan syiar Islam melalui penggunaan ICT.
FUNGSI E-SYARIAH

Kepada Agensi Kerajaan

Untuk menyelaras tahap komunikasi, Mahkamah-mahkamah Syariah akan dihubungkan secara elektronik kepada agensi-agensi berkaitan seperti berikut:

E-Syariah akan diintegrasikan dengan Sistem Pernikahan Muslim (SIMPI) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Ini akan memanfaatkan dengan lebih meluas hubungan pengurusan di antara JAKIM dan JKSM.

Mengandungi modul untuk pengurusan kes Faraid – mesra pengguna, pengiraan cepat dan tepat yang boleh dibuat sendiri, dan membantu mengelakkan penyalahgunaan harta serta pembahagian tidak sama rata.

Bahagian Hal-Ehwal Perundangan di Jabatan Perdana Menteri diberi akses secara langsung kepada data dan maklumat dalam kandungan E-Syariah.

JKSM diberi akses kepada sistem ALIS di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) untuk menyemak identiti pelanggannya memandangkan sistem ini mengandungi maklumat terperinci tentang setiap warganegara Malaysia .

JKSM juga dilengkapkan dengan rangkaian komunikasi yang menghubungkannya dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Kepada Peguam

E-Syariah akan banyak memberi faedah kepada peguam-peguam yang kerap berurusan dengan mahkamah. Sistem E-Syariah mempunyai proses dan prosedur yang sempurna dan cekap untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada peguam-peguam.

Contohnya, melalui portal E-Syariah, peguam-peguam dapat menyemak status kes serta penetapan tarikh dan masa untuk Sebutan dan Perbicaraan.

Kepada Pelanggan

Objektif utama maklumat disiarkan dan dikongsi melalui portal E-Syariah adalah untuk menghubungkan masyarakat umum dengan agensi-agensi kerajaan melalui internet. Dengan itu, pelanggan-pelanggan iaitu plaintif dan defendan dapat mendaftarkan kes mereka secara atas talian walaupun mereka berada di rumah. Ini mempercepatkan lagi proses mendaftar dan merujuk kes yang biasanya lambat dan membazir banyak masa dan tenaga. Mereka juga dapat menyemak status kes mereka, masa dan tarikh sebutan dan perbicaraan, serta dimaklumkan melalui notis automatik sebagai peringatan (melalui e-mel peribadi).

 

APLIKASI E-SYARIAH

Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS) :

Melalui aplikasi www, sistem ini menyediakan kemudahan Pendaftaran Kes, Penjadualan Perbicaraan, Kutipan dan Pengeluaran Resit, Carian Maklumat Kes, Merekod Keputusan Penghakiman, Statistik dan Laporan, serta Penyelengraan Sistem. Unit pengkalan data menyimpan maklumat kes-kes yang difailkan sebagai rujukan dan semakan supaya pertindihan kes antara negeri-negeri dielakkan dan pengiraan Faraid dapat dibuat secara elektronik.


Pengurusan Kes Faraid :

E-Syariah juga menguruskan kes Faraid yang diletakkan di bawah modul Pendaftaran Kes. Pengurusan kes yang sistematik membolehkan pengagihan harta dibuat sama rata antara anak yatim, saudara-mara dan waris berkenaan, serta tiada penyalahgunaan harta berlaku. Pengguna juga dapat mengira pengagihan yang dibuat menerusi kalkulator Faraid. Walaubagaimanapun, peruntukan pembahagian harta pusaka yang sah hanya dibuat melalui Sijil faraid yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah.


Sistem Pendaftaran Peguam Syarie :

Sistem ini menyediakan kemudahan untuk mendaftar permohonan baru atau memperbaharui Sijil Amalan Peguam Syarie. Terdapat satu pengkalan data yang mengandungi maklumat terkini pengamal-pengamal perundangan Syariah disimpan bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan.


Portal E-Syariah :

Portal ini menjadi gerbang maklumat yang menyediakan kemudahan kepada orang ramai dan anggota Mahkamah Syariah untuk mendapat maklumat tentang peraturan dan prosedur mahkamah yang terkini. Orang ramai juga boleh mengajukan pertanyaan atau kemusyikan secara atas talian kepada pihak mahkamah.


Sistem Automasi Pejabat :

Kemudahan sistem automasi pejabat seperti perisian pemprosesan perkataan (word prosesser), spreadsheet dan persembahan grafik disediakan untuk mempertingkatkan urusan harian pejabat. Penggunaan e-mel bagi kakitangan dan pegawai mahkamah juga disediakan.


Sistem Pengurusan Perpustakaan :

Kemudahan pengurusan perpustakaan disediakan juga berkenaan urusan semakan,tempahan, pemulangan, dan perolehan buku-buku dan bahan-bahan perpustakaan secara elektronik. Katalog bahan-bahan yang tersimpan di perpustakaan JKSM dan Jabatan Kehakiman Negeri-negeri (JKSM) boleh diakses dan ditempah oleh para hakim dan Pendaftar Mahkamah.


Rangkaian Komunikasi Dengan Agensi-agensi Berkaitan :

E-Syariah menghubungkan Mahkamah Syariah dengan agensi-agensi berikut: Bahagian Hal Ehwal Perundangan di JPM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), JAKIM, PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia .