Terengganu Kini Mempunyai Hakim Syarie Wanita

 

KUALA TERENGGANU 14 Feb. - Negeri ini mencipta sejarahnya yang tersendiri dalam bidang perundangan apabila buat julung kalinya mempunyai Hakim Syarie Wanita. Noor Afzan Binti Adam, Nurul Huda Binti Abdul Rahman dan Siti Salwa Binti Mustafa merintis pencapaian ini setelah ditauliahkan sebagai Hakim Syarie Terengganu oleh Sultan Mizan Zainal Abidin pada 1 Oktober, 2016. Kejayaan tiga wanita anak negeri yang hebat ini dan memecah tembok pemikiran tradisi didedahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini. Mereka merupakan sebahagian daripada rentetan 30 kejayaaan anak negeri dan pencapaian jabatan serta agensi kerajaan dalam pelbagai lapangan sepanjang tahun lalu yang dibentangkan hari ini dalam Majlis Ucap Negeri 2017 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Majlis Ucap Negeri yang dijadikan tradisi setiap awal tahun mulai tahun lalu, kali ini bertemakan Bersama Melangkah Kehadapan yang berfungsi sebagai platform untuk kerajaan negeri mengimbau kembali kejayaan yang dicapai selain menyatakan fokus kepemimpinan bagi tahun ini, “Ini bagi memperlihat dan merangsang kejayaan berterusan yang sekaligus dapat membuktikan bahawa kehebatan rakyat dapat diserlahkan lebih meluas apabila potensi mereka digilap ,”ujarnya, Majlis hari ini bukan sahaja menghimpunkan para pegawai kerajaan tetapi juga mencakupi segenap lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, pihaks wasta, badan-badan bukan kerajaan, pemimpin di peringkat akar umbi dan para pelajar di peringkat menengah serta institusi pengajian tinggi.

 

DARI kiri, Siti Salwa Binti Mustafa, Nurul Huda Binti Abdul Rahman dan Noor Afzan Binti Adam turut hadir dalam Majlis Ucap Negeri 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu

 

KEMASKINI TERAKHIR : 15 Februari 2017