Perutusan Awal Tahun 2023 Y.A.A. Ketua Hakim Syarie Terengganu
UCAPAN
Y.A.A DATO’ TUAN HAJI WAN MOHD ZAKRI BIN WAN MOHD
KETUA HAKIM SYARIE
SEMPENA
MAJLIS PERHIMPUNAN AWAL TAHUN 2023
5 JANUARI 2023
Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdullilahi Rabbil Alamin Wassolatu Wassolamu Ala Ashrafil Anbiyar Iwar Mursolin Waala Alihi Wasibihi Aj’main.
Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.
1. Alhamdulillah, kita masih lagi diberi kesempatan untuk berhimpun pada hari ini dengan wajah kesemua hadirin yang berada di sini masing-masing saya tengok boleh dikatakan sangat ceria dan berseri-seri. Semoga kita dapat menadah tangan sentiasa mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi ke atas limpah dan kurnia-Nya yang tidak henti-henti diturunkan kepada kita semua.
Hadirin yang dihormati sekalian,
2. Suka saya sentuh pasal nilai hormat-menghormati. Budaya ini, yang menjadi kayu ukur fitrah ketertinggian personaliti manusia, menjadi wadah penting bagi memupuk semangat kekitaan di kalangan warga jabatan ini. Teras norma hormat perlu sentiasa diinstitusikan di jabatan ini bagi mengelakkan berlakunya implikasi keruntuhan budaya. Yang tua kita hormati dan yang muda kita sayangi. Inilah yang dikatakan menghormati keperibadian individu. Caranya kita menjaga perasaan orang lain, mengambil kira nasib mereka yang kurang bernasib baik, tidak pandang rendah kepada orang lain dan mempertimbangkan juga pendapat orang lain. Dengan ini kita akan saling mempercayai di antara satu sama lain, berkerja secara berpasukan, mengikis kelakuan ‘silo’ dalam apa jua tindakan, dan ini sudah tentu dapat meyakinkan serta memudahkan kerja kita kelak.
3. Sepertimana saya sebutkan dalam ucapan-ucapan sebelum ini, saya ingatkan lagi supaya sentiasa bawa perubahan diri dan jangan terus berada dalam zon selesa. Apa-apa halangan atau cabaran baharu kita sama-sama gembleng memikirkan cara penyelesaian dan jangan ada perspepsi bahawa apa yang kita buat sentiasa betul tanpa mempedulikan pandangan orang lain. Ini kerana pandangan orang lain boleh jadi betul juga. Saya petik kata-kata Imam al-Syafei Rahimahullah yang bermaksud: "Pendapatku adalah benar yang mengandung kemungkinan salah, sedangkan pendapat orang lain selain aku adalah salah yang mengandung kemungkinan benar."
4. Tambahan lagi, jangan pula bila ada orang tegur kita sikit, terutamanya teguran daripada saya sendiri, kita terus sabotaj, terus melenting kemudian buat kerja acuh tak acuh. Atau lebih teruk buat cerita yang tak elok dan tidak berasas hingga menimbulkan ketakselesaan bekerja. Jangan sama sekali ada sikap sebegini di jabatan ini. Kadang-kadang teguran daripada sesama kita bukan untuk mengkritik atau komen yang buruk untuk jatuhkan semangat, tapi untuk kita perbaiki diri ke arah lebih baik.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Tahun 2022 telah menyaksikan beberapa kejayaan kita meneruskan pencapaian jabatan dalam pasca Covid-19/endemik. Beberapa usaha kita telah dapat kita laksanakan sebagaimana kita sasarkan dalam blueprint jabatan, pelan strategik, ISO, Arahan-Arahan Ketua Hakim Syarie, pekeliling-pekeliling, tugas-tugas semasa. Alhamdulillah juga kita telah berjaya melancarkan jurnal kita, iaitu Qanun Syariah Darul Iman (atau kita panggil QASDI) buat kali pertamanya pada 30 Julai 2022 sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1444H. Untuk pengetahuan semua hadirin, QASDI merupakan jurnal yang menghimpunkan penghakiman kes-kes di Mahkamah Syariah di Terengganu, yang diterbitkan dengan usaha sama UNISZA dan MAIDAM. Uniknya, jurnal ini telah disusun dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Saya sarankan kita semua dapat mengambil sedikit masa untuk mentelaah isi kandungan jurnal ini untuk pertambahan ilmu.
6. Selain itu, kita telah berjaya mendokumentasikan Buku Pelan Anti rasuah Organisasi (OACP) JKSTR 2022-2026 dan telah dilancarkan pada 1 November 2022. Buku ini hendaklah dihayati oleh warga kerja dengan memastikan setiap 8 bidang keutamaan yang mengandungi 8 strategi dan 90 inisiatif di dalamnya dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
7. Kita juga telah memenangi Gold Award di peringkat Antarabangsa dalam International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 15 hingga 18 November 2022. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kumpulan Justice Hunter atas kejayaan ini. Kalau boleh saya mahu jadikan pencapaian ini sebagai salah satu acara tahunan kita yang perlu kita gapai dengan apa cara pun.
8. Selain itu, Dewan Undangan Negeri Terengganu juga telah meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022 pada 1 December 2022. Sebanyak lebih kurang 39% peruntukan-peruntukan di dalamnya telah dibuat pindaan meliputi bentuk-bentuk kesalahan yang baharu antaranya:
a. Perbomohan dan sihir;
b. Hamil atau melahirkan anak diluar nikah;
c. Orang perempuan berlagak seperti lelaki;
d. Persediaan melakukan liwat;
dan menaikkan kadar hukuman semaksimun mungkin. Dengan adanya pindaan ini, kita boleh mengharapkan agar kesejahteraan umat Islam di negeri ini kekal terjaga dan terpelihara.
9. Lain-lain seperti KPI penyelesaian kes di setiap dewan masih menunjukkan pencapaian yang positif dengan peratusan melebihi 90%, peratusan pelaksanaan Pelan Strategik 2019-2023 bagi Teras 1 dan Teras 2 pula masih berada di landasan yang betul. Tahniah kepada semua saya ucapkan.
10. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada 12 orang pegawai Gred LS 22 dan LS 19 yang telah mendapat kenaikan pangkat secara time-based kepada Gred LS 26 dan N 22 berkuatkuasa bulan Julai dan Ogos 2022 tahun lepas.
11. Sebelum saya tutup ucapan saya ini, saya mengingatkan agar kita sentiasa tekun dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas yang telah tersenarai dan lain-lain tugas yang diarahkan. Tidak rugi pun kita pamerkan profesionalisme kita semasa bertugas kerana kita akan mendapat berkat dan nikmat daripada Allah swt di kemudian hari. Teruskanlah hala tuju jabatan sepertimana sebelum ini dengan membuat beberapa penambah baikan bagi disesuaikan dengan suasana politik dan kewangan semasa.
Sekian, terima kasih.
Wabillahitauufik wal hidahah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.