Soalan Lazim (FAQ)

Ditulis pada .

Soalan 1 : Jika tidak mampu mengambil Peguam, apakah ada Bantuan Guaman yang disediakan oleh pihak Kerajaan?

Jawapan:Ya, ada. Kerajaan telah menubuhkan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) bagi membantu rakyat yang tidak mampu membayar khidmat guaman semasa menghadapi kes di Mahkamah Syariah. Pegawai dari JBG akan bertindak sebagai Peguam kepada orang yang melantiknya di dalam mana-mana pertikaian di Mahkamah Syariah.


Soalan 2 : Dimanakah Permohonan Poligami Saya Boleh Didaftarkan? Saya tinggal di Bandar Permaisuri Setiu dan bekerja di Kampung Raja Besut. Isteri saya bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur. Sekiranya saya ingin membuat permohonan berpoligami, dimanakah saya perlu menghantar borang permohonan?

Jawapan: Tuan boleh membuat permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah Besut Terengganu. Permohonan Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa adalah diperlukan kerana isteri tuan beralamat penyampaian di Kuala Lumpur. Borang permohonan kebenaran berpoligami dan Permohonan Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa boleh didapati di Kaunter Setempat, Aras 1, Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu mahupun di dalam laman web Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

 

Soalan 3 : Apakah dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan sekiranya saya ingin mendaftarkan Permohonan Kebenaran Berpoligami?

Jawapan: Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan Permohonan Kebenaran Berpoligami adalah :

  1. Dua (2) salinan borang (Notis Permohonan & Afidavit)
  2. Dua (2) salinan borang penyampaian saman di luar bidangkuasa (bagi Responden yang berada di luar Terengganu/Malaysia)
  3. Borang MS 27 (Pengenalpastian Ekshibit) mengikut bilangan ekshibit yang ditandakan.
  4. Salinan KP Pemohon (1 salinan)
  5. Salinan surat Permastautinan Pemohon (bagi Pemohon yang alamat KP diluar daerah di negeri Terengganu atau di luar daripada negeri Terengganu) (1 salinan)
  6. Salinan Slip Gaji/Penyata Pendapatan/Penyata Bank/Perakuan Pendapatan dari JKKK (terbaru) (mana yg berkaitan) (1 salinan)
  7. Salinan Surat Nikah (isteri sedia ada) (1 salinan)
  8. Salinan Surat Cerai Bakal Isteri (1 salinan) – jika janda dan Salinan Surat Mati Suami Terdahulu (1 salinan) – jika bercerai mati.

 

Soalan 4 : Tuntutan selepas perceraian 

Saya telah bercerai talak satu raj’ie dengan kebenaran Mahkamah di Mahkamah Syariah Derah Marang pada bulan 10 Mei 2107 yang lalu. Adakah saya mempunyai hak dan apakah tuntutan atau hak-hak yang boleh saya tuntut sebagai isteri setelah berlakunya perceraian antara saya dan bekas suami ?

Jawapan:Selepas berlakunya perceraian, Puan mempunyai beberapa hak yang boleh dituntut dan difailkan di Mahkamah Syariah. Antara tuntutan-tuntutan yang boleh difailkan adalah :

-Hutang Maskahwin
-Nafkah ‘Iddah
-Tunggakan Nafkah Isteri
-Mutaah
-Harta Sepencarian
-Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
-Nafkah Anak

 

Soalan 5 : Perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara

Saya dan suami telah melangsungkan perkahwinan di wilayah Pattani Thailand tanpa pengetahuan keluarga. Adakah saya perlu mendaftar perkahwinan tersebut di Malaysia?

Jawapan: Setiap perkahwinan yang sah menurut Hukum Syara’ hendaklah didaftarkan. Bagi kes puan, puan hendaklah terlebih dahulu membuat Permohonan Pengesahan Pernikahan di Mahkamah bagi menentukan sama ada pernikahan yang dilangsungkan itu adalah sah atau sebaliknya.

 

Soalan 6 : Lafaz Cerai Suami Yang Tidak Jelas

Saya dan suami telah bergaduh, dalam pergaduhan itu suami telah mengatakan yang hubungan kami sudah tiada apa-apa lagi. Dia sudah tidak mempunyai perasaan lagi terhadap saya dan meminta agar kami membawa haluan masing-masing. Suami saya juga ada melafazkan, “Aku lepaskan kamu mulai hari ini”. Apakah status hubungan kami?

Jawapan: Untuk makluman puan, puan bolehlah datang ke Mahkamah Rendah Syariah daerah tempat tinggal puan dan mendapatkan contoh Afidavit untuk membuat pengesahan lafaz cerai bagi memastikan maksud/niat sebenar lafaz suami puan itu. Ianya perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah akan memutuskan sama ada lafaz itu menyebabkan jatuhnya talaq atau tidak.

 

Soalan 7 : Penentuan Status Isteri Nusyuz

Saya dan suami seringkali bergaduh, dalam pergaduhan  beberapa minggu lepas, suami telah bertindak memukul saya dengan menggunakan senjata tajam. Suami juga mendera mental dan fizikal saya. Beberapa hari selepas itu, saya telah bertindak melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan oleh suami saya. Suami telah mencanangkan kepada keluarga dan kawan-kawan saya bahawa saya sebagi isteri yang nusyuz? Adakah saya telah disabitkan sebagai seorang isteri yang nusyuz?

 

Jawapan: Untuk makluman puan, sabitan sama ada seorang isteri tersebut nusyuz atau pun tidak sebenarnya tidak sesewenang-wenangnya boleh ditentukan oleh seseorang suami. Dakwaan bahawa seseorang isteri itu telah nusyuz adalah dengan si suami mengemukakan terlebih dahulu tuntutan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah. Setelah itu, di dalam prosiding perbicaraan, suami hendaklah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh terhadap dakwaan yang dibuatnya terhadap isteri. Hakim Syarie adalah orang yang kompeten untuk memutuskan sama ada telah berlaku perbuatan nusyuz tersebut atau sebaliknya seterusnya mensabitkan seseorang isteri itu telah nusyuz. Hak seseorang isteri tidak sesekali gugur sehinggalah sabitan nusyuz diputuskan di Mahkamah Syariah.


Soalan 8 : Bolehkah seseorang isteri itu tinggal berasingan dengan suaminya semasa prosiding tuntutan fasakh sedang berjalan?. Ini kerana tuntutan fasakh dibuat atas alasan suami seorang yang mengalami masalah mental yang kritikal dan seringkali berada di luar kawalan sehingga memukul isteri, mencederakan bahkan membahayakan nyawa isterinya?

Jawapan: Boleh. Jika isteri bimbang bahawa suaminya akan bertindak balas dengan memukul dan membahayakan nyawanya setelah dia memfailkan tuntutan fasakh tersebut, atau mengenakan tekanan mental dan emosi yang bersangatan terhadapnya, maka semasa memfailkan tuntutan fasakh tersebut, isteri bolehlah memfailkan permohonan injunksi / tegahan kacau ganggu secara ex-parte.
 

Soalan 9 : Tunggakan Nafkah isteri

Suami saya seorang yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak memberi nafkah zahir kepada saya sepanjang perkahwinan kami. Hal ini berterusan sehinggalah 3 tahun berturut-turut. Adakah saya berhak membuat tuntutan tunggakan nafkah terhadap suami saya yang cuai dalam menyediakan nafkah isteri kepada saya sungguhpun kami tidak bercerai ?

Jawapan: Untuk makluman puan, puan bolehmemfailkan tuntutan tunggakan nafkah isteri. Tuntutan nafkah isteri bukan hanya boleh dituntut selepas berlakunya perceraian, namun ianya juga boleh difailkan semasa dalam perkahwinan. Jika suami tidak pernah memberi nafkah semasa tempoh perkahwinan, isteri boleh mengajukan tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan tunggakan nafkah tersebut.

 

Soalan 10 : Hak Penjagaan Anak

Selepas bercerai suami saya sentiasa mengugut saya bahawa saya tidak akan mendapat hak penjagaan anak kerana saya tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap dan hanya menjual kuih-muih secara sambilan untuk menyara kehidupan. Adakah pekerjaan seseorang isteri ataupun seseorang isteri yang tidak bekerja itu tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak berbanding suami yang bekerja ?


Jawapan: Untuk makluman puan, walaupun isteri tidak mempunyai pekerjaan, Mahkamah Syariah boleh memberikan hak penjagaan anak kepada isteri jika Mahkamah mendapati anak-anak tersebut lebih terjamin kebajikannya apabila mereka berada di bawah penjagaan ibu. Ini kerana pertimbangan Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada kebajikan anak atau pun apa-apa yang difikirkan terbaik untuk anak-anak tersebut (the best interest of the child).

 

Soalan 11 : Perceraian yang berlaku di Luar Mahkamah

Apakah tindakan yang wajar dilakukan sekiranya telah berlakunya penceraian di luar Mahkamah di antara suami dan isteri ?

Jawapan: Penceraian boleh berlaku di mana-mana sama ada di luar Mahkamah atau di dalam Mahkamah. Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut seberapa segera selepas berlakunya lafaz tersebut.