Perutusan Sempena Maal Hijrah 1441H

Ditulis pada .

Ucaptama Ketua Hakim Syarie 1441H

 

 

PERUTUSAN AWAL MUHARRAM
KETUA HAKIM SYARIE

SALAM MAAL HIJRAH
1441H / 2019M

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِوَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Detik ketibaan Awal Muharram sebenarnya memberi tanda telah berlalunya saat sukar senang selama 365 hari (mengikut Takwim Hijriyyah) kita menjayakan fungsi jabatan dalam memberi penyampaian perkhidmatankepada pelanggan selain memberi peringatan untuk kita terus mengekalkan tiap-tiap pencapaian yang dikecapi. Saya ucapkan sekalung tahniah dan berbanyak terima kasih atas usaha-usaha yang digarapkan oleh warga kerja sekalian.

Namun apa kita selesa dan puas hati terhadap kejayaan setakat itu tanpa kita mengambil jalan lain untuk menyerap unsur-unsur penambahbaikan ke dalamnya? Sudah tentu kita tidak sama sekali mengendahkan unsur-unsur yang memberi manfaat demikian kepada kita bahkan kita masih menuntut sesuatu perubahan tertentu yang boleh memudahkan gerak kerja seharian kita. Perubahan itu boleh dilakukan dengan kita melakukan hijrah.

Hijrah banyak baiknya. Jika kita imbau kembali penghijrahan yang dilakukan oleh Rasulullah   dan sahabat menuju ke Kota Yathrib (Madinah), maka dapat kita menilai sendiri peralihanketamadunandan peradabanumat Islam, tidak kiralah dari sudut penyebaran syiar Agama, kemajuan hidup kemasyarakatan, penyusunan ibadah yang teratur, penemuan cabang ilmu yang pelbagai, atau perancangan pentadbiran negara, ekonomi dan ketenteraan yang strategik, kekukuhan pengadilan dan hukuman, serta bermacam-macam percambahan nilai-nilai Islam.
Berakar umbikan perjuangan dan pengorbanan Rasulullah  dan sahabat merentasi jarak perjalanan yang mencabar telahkemudiannya memberi nafas baharu kepada era kebangkitan Islam ketika itu sehinggakan Baginda berjaya membina perpaduan mantap di kalanganmereka yang bertelagah. Ungkapan ‘Muharram sebagai permulaan takwim dalam sejarah Islam’bukan semata-mata suatu kebanggaan mahupun penghargaan lantaran padanya terdapat signifikan kepada umat Islam seluruhnya.Firman Allah di dalam surah An-Nisaa, ayat 100:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا - 4:100
Maksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan secara hakikatnya kita sebagai hamba-Nya yang lemah tidak lari dari berbuat dosa. Bagi menyambung kesan carikan dosa itu, hijrahlah dengan memperbetulkan minda dan jiwaterlebih dahulu. Tetapkan iman untuk membantu kita berhijrah dan jadikannya sebagai penyuntik semangat untuk kita tonjolkan hijrah tersebut dengan perbuatan. Menyempitkan erti sebenar hijrah setakat perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain adalah kolot, sedangkan ianya terangkum dengan makna yang lebih luas. Saya percaya hijrah yang berterusan adalah pencetus kejayaan. Sifat kesungguhan Rasulullah   dan sahabat melakukan hijrah perlulah kita jadikan teladan terbaik untuk diikuti.

Dalam kita menghadapi perubahan gerak kerja seharian, kita boleh menyusul dengan skop hijrah melakukan penambahbaikan secara berterusan. Hasilnya kita dapat menginovasikan kaedah pernyampaian perkhidmatan supaya dapat memudahkan kita menjalankan tugas sekaligus memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan. Justeru itu, saya pada saat ini memberi saranan agar kita tanamkan keberanian di dalam diri untuk berhijrah dan jadilah ‘pereka’ di kalangan warga kerja demi mendapat pulangan baik kepada kita semua kelak.

Bersempena tema Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1441H / 2019M, iaitu “Negara Rahmah, Ummah Sejahtera”, saya komited untuk menjadikan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu sebagai sebuah institusi kehakiman yang berwibawa dalam menguatkuasa dan melaksanakan penghakiman yang adil, serta memelihara kebajikan pelanggan mengikut landasan Hukum Syarak dan undang-undang. Akhir kalam, marilah kita berhijrah semaksima mungkin ke arah kebaikan moga impak keberkesanannya dapat dikongsi bersama. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Yang Amat Arif Ketua Hakim
Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

1 Muharram 1441H
Bersamaan 1 September 2019