Perutusan Awal Tahun 2020

Ditulis pada .

PERUTUSAN AWAL TAHUN 2020

KETUA HAKIM SYARIE

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KALI 1/2020

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdullilahi Rabbil Alamin Wassolatu Wassolamu Ala Ashrafil Anbiyar Iwar Mursolin Waala Alihi Wasibihi Aj’main.

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Tempoh 1 tahun sangatlah singkat. Banyak perkara yang tidak kita sangka-sangka telah berlalu dalam tempoh 365 hari itu. Kita boleh lihat sendiriapakah perubahan tersebut. Ada yang telah berkahwin dan beranak pinak. Ada yang telah dinaikan pangkat. Ada yang telah meningkat usia tua dan bersara. Ada juga yang telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Al-Fatihah.

Semua ini adalah di bawah perancangan Allah s.w.t. Kita hanya berusaha tetapi apa yang berlaku semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Mungkin Allah s.w.t. masih belum menunaikan kehendak kita. Atau mungkin kita mahupun sesuatu yang lain tetapi Allah s.w.t. memberikan kepada kita sesuatu yang lain yang lebih baik. Sebagai rakan sekerja, kita berilah galakan dan ucapkanlah tahniah. Jangan sama sekali tanamkan sifat hasad dengki dalam diri.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pertama-tamanya, saya ingin ucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada yang baru memulakan khidmat di sini. Saya harapkan agar semua kakitangan dapat menjalankan tugas dengan tekun dan sabar. Ini kerana core business kita sedikit berbeza berbanding jabatan atau agensi lain. Kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengadili sesuatu kes dan memberi keputusan. Setiap masalah orang awam yang kita selesaikan melibatkan sesuatu yang agak sensitif. Fenomena orang awam yang tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah memang biasa berlaku. Maka kita kenalah sentiasa bersedia menerima apa-apa rungutan dan reaksi orang awam.

Saya ingin memetik sepotong ayat al-Quran dan sabda Rasulullah s.a.w. sebagai peneraju intipati kepada keseluruhan ucapan saya pada kali ini. Firman Allah s.w.t. dalam ayat 110 surah al-Imran:

Terjemahan: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia menyuruh melakukan perkara yang ma'ruf, dan meninggalkan perkara yang munkar, dan beriman kepada Allah.

Satu lagi firman Allah s.w.t. dalam ayat 7 surah al-Insyirah:

Terjemahan: Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain

Begitu juga sebuah hadith Rasulullah s.a.w. ada menyebut, sebagaimana riwayat al-Baihaqi:

“Perumpaan seorang mukmim adalah seperti lebah. Apabila ia makan makaiamemakan sesuatu yang baik. Dan jikaia meluahkan sesuatu,ia pun akan meluahkan sesuatu yang baik. Dan jika ia hinggap pada sebatang dahan untuk menghisap madu, ia tidak akan mematahkan dahan itu”.

Kita sebagai khalifah muka bumi ini, mempunyai tanggungjawab yang besar. Dari sudut seorang pekerja yang bertindak sebagai ‘anggota yang mengemudi’ jabatan kehakiman syariah, kita bertanggungjawab merealisasikan halatuju kita.Sebagai inspirasi, kita hendaklah tidak berhenti di situ sahaja tetapi sentiasa meningkatkan prestasi kerja kita. Sentiasa berfikir maju ke hadapan.

Saya kongsi pengalaman saya ketika menghadiri satu program berkaitan Maqasid As-Syariyyah bersama Syeikh Khusaini dari Morroco yang merupakan Pengerusi Ulama Sedunia. Beliau mengatakan bahawa seseorang hakim itu hendaklah tegas dan berkeyakinan. Sesuatu yang haram katakanlah haram. Sesuatu yang harus katakanlah harus. Janganlah sesuatu yang haram kita haruskan. Hakim juga boleh membuat keputusan yang kreatif. Bahkan hakim mempunyai kuasa untuk menetapkan syarat-syarat dalam sesuatu keputusan itu.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Satu Japanese proverbada menyatakan, “if one can do, you can do. If no one can do, you must do”. Bagi menjayakan semua halatuju kita, kita perlulah mengambil apa jua jalan. Kita boleh buat dan kita mesti buat. Walaupun core business kita adalah kehakiman, tidak bermaksud kita perlu berhadapan dengan kes semata-mata. Kita juga kenalah menjayakan tadbir urus jabatan.

Tahun 2020 iniialah tahun kedua kita melaksanakan pelan strategik kita. Kita meletakkan hasrat melaksanakan hala tuju kita dalam tempoh 5 tahun. Dalam tempoh itu, kita akan menambah program dari semasa ke semasa. Ingin saya mengingatkan bahawa visi kita ialah memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan Syariah kepada masyarakat. Moto kita ialah ‘Syariah World Class’yang bermaksud memasyhurkan sistem kehakiman Syariah khususnya kehakiman Syariah di negeri Terengganu. Misi kita pula ialah melaksanakan pengurusan kehakiman Syariah berdasarkan hukum syarak dan undang-undang secara professional demi keadilan ummah.

Banyak cabaran yang kita perlu hadapi untuk merealisasikan hala tuju tersebut.. Bagi teras 1 Pelan Strategik adalah berhubung dengan kehakiman dan pentadbiran. Manakala teras 2 Pelan Strategik adalah berhubung dengan pengurusan dan tadbir urus. Kedua-dua teras ini mengandungi 8 strategi yang memuatkan pelbagai program. Dalam tempoh 5 tahun tersebut, kita akan lihat setakat mana pelan tersebut dapat kita capai yang mana kita harap dapat dilaksanakan sebanyak 85%. Walaupun kita menghadapi kekangan bajet, kita akan sedaya upaya menjayakannya.

Kalau kita lihat pula pencapaian kita dalam penyelesaian kes, iaitu pencapaian utama dalam core business kita, statistik pendaftaran kes adalah meningkat  dari tahun 2015-2019. Jumlah pendaftaran dalam tempoh 5 tahun tersebut dicatat sebanyak 45, 710 kes dengan purata sebanyak 9,142 kes setahun.

Kes permohonan perceraian masih lagi direkodkan sebagai kes yang didaftarkan paling tinggi (9,392 kes), diikuti kes pengesahan lafaz cerai (7386 kes), permohonan sijil faraid (5,622), Khalwat (3,736) dan fasakh (2,698).

Namun kita mendapat pencapaian yang boleh dibanggakan dari sudut jumlah penyelesaian kes dengan kejayaan menyelesaikan kes sebanyak 44,044 kes dengan peratusan kejayaan sebanyak 96.35% kes dalam tempoh 5 tahun yang terkebelakang tersebut. Ini bermakna dalam setiap 10 kes yang didaftarkan, 9.6 kes berjaya diselesaikan. Tahniah kepada semua atas pencapaian ini.

Berkenaan sumber manusia, kita memerlukan lebih ramai kakitangan. Kekurangan kakitangan ini menyebabkan lambakan kerja yang perlu diuruskan oleh bilangan kita yang sedikit. Semoga perjawatan dapat diisi lebih banyak selepas ini.

Akhir kata saya mengharapkan pencapaian ini kita sentiasa kekalkan. Kita tidak mahu wujudnya budaya ‘automation’, iaitu sikap selesa dalam zon sedia ada. Tapi kita mahu budaya berfikir secara kritis, konstruktif, amanah dan bertanggungjawab.Saya juga mengharapkan kita semua dapat bekerja dalam keceriaan dan saling tolong menolong mencari jalan penyelesaian bagi meningkatkan mutu diri dan jabatan.Sentiasalah bersangka baik. Jika ada apa-apa pandangan, luahkanlah melalui saluran yang betul. Dan semoga kita boleh berusaha memahami dan menyelami apakah perlaksanaan yang kita nak capai dan kita saling membantu untuk menjayakannya.

 

Sekian, terima kasih.

Wabillahitauufik wal hidahah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Yang Amat Arif Ketua Hakim

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

 

9 Januari 2020

Bersamaan 13 Jamadil Awal 1441H