Perutusan Awal Tahun 2021 YAA Ketua Hakim Syarie Terengganu

Ditulis pada .

UCAPAN

Y.A.A TUAN HAJI WAN MOHD ZAKRI BIN WAN MOHD

KETUA HAKIM SYARIE

SEMPENA

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA HAKIM-HAKIM, PEGAWAI-PEGAWAI SERTA KAKITANGAN JKSTR

10 JANUARI 2021

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله ربّ العالمين وبه نستعين

والصّلاة والسلام على سيّدنا محمّد

وعلى آله وصحبه أجمعين

 

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

 

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita diberi kesempatan untuk berhimpun lagi dalam majlis ini untuk kali pertama pada tahun 2021 ini. Moga kita sama-sama dapat merafa’kan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas nikmat usia, kesihatan dan masih berpeluang untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

 

Terima kasih saya ucapkan terutamanya kepada Yang Berhormat Senator Datuk Dr, serta kepada semua pegawai dan kakitangan yang datang dari jauh untuk turut serta hadir. Perhimpunan kali ini amat bermakna pada kita semua kerana diadakan untuk memberi peluang kepada kita beramah mesra di kalangan kita, dan untuk kita memupuk hubungan baik dengan rakan sekerja di antara kita.

 

YB/YA/Tuan/Puan yang saya hormati,

 

Pejam celik, pejam celik kita telah mengharungi tahun 2020 dengan kejutan dugaan pandemik yang dinamakan COVID-19. Detik-detik ini sangat mencabar. Namun ia mengisi diri kita semua dengan keinsafan. Memang kita tidak nafikan impak yang diberikan berikutan pandemik yang masih berterusan ini ke atas semua kita, baik dari segi kekukuhan ekonomi keluarga, batas pergerakan untuk melakukan aktiviti dan berbagai lagi. Musibah ini mengajar kita untuk rasa bersyukur sentiasa dengan apa yang kita perolehi dan nikmati, tabah menghadapi kesusahan, serta dapat menilai diri kita sendiri setakat mana tahap kesabaran yang kita miliki dalam diri.

 

Tahun 2020 yang lalu, penularan COVID-19 telah memaksa kerajaan mengeluarkan satu arahan, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan bermula 18 Mac 2020. Kemudian arahan-arahan lain menyusul seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta lain-lain arahan di kawasan-kawasan tertentu. Banyak perancangan yang kita tetapkan di dalam blueprint jabatan tidak dapat berjalan, mengambilkira juga semua program-program yang telah dicadangkan di dalam Pelan Strategik 2019-2023. Paling sukar adalah apabila kita perlu menangguh kesemua kes-kes yang telah difailkan. Ini sekaligus sedikit sebanyak memperlahankan proses pihak-pihak yang bertikai untuk mendapatkan hak-hak mereka.

Dari sudut pencapaian kita dalam penyelesaian kes, iaitu pencapaian utama dalam core business kita, jika kita lihat pada tahun 2019, jumlah kes yang didaftarkan adalah sebanyak 9,566 kes. Manakala pada tahun 2020, jumlah kes yang didaftarkan adalah sebanyak 8,233 kes. Ini menunjukkan bahawa peningkatan kes masih berada di takut yang sama malah masih lagi banyak walaupun kita masih berada dalam fasa pandemik. Kes setakat tahun 2020, permohonan perceraian masih lagi direkodkan sebagai kes yang didaftarkan paling tinggi (1,939 kes), diikuti kes pengesahan lafaz cerai (1,403 kes), fasakh (329), pengesahan cerai takliq (445) dan tebus talaq (13). Saya harap kes-kes yang belum selesai dan kes-kes mendatang dapat  memberi data penyelesaian yang kekal positif. Cuba elakkan sepenuhnya penangguhan kes tanpa alasan munasabah, dibimbangi menjejaskan prinsip keadilan bak ungkapan kata mengatakan “justice delayed justice denied”.

 

Namun kita bertuah kerana hidup pada zaman yang berteknologi canggih seperti sekarang ini. Kalau tidak mana mungkin kita dapat menerokai platform-platform atas talian untuk kita berhubung secara bersemuka di dalam mesyuarat tatkala tempoh PKP ini. Antaranya seperti Skype, Zoom, Cisco Webex, Google Meet, whatsapp, telegram dan sebagainya. Kita juga dapat memanfaatkan platform-platform sebegini untuk menghadiri kursus, seminar, persidangan atau siri-siri ceramah yang dianjurkan oleh mana-mana jabatan/agensi lain. Disebabkan itu kita semua masih boleh mengekalkan penjarakan fizikal yang diketengahkan oleh MKN dan KKM sepertimana dibekalkan di dalam SOP.

 

Tidak lupa juga kita telah dapat menyertai dua pertandingan KIK di peringkat wilayah pantai timur dan di peringkat kebangsaan, yang mana  pertandingan-pertandingan tersebut telah diadakan secara atas talian. Hasilnya, kita telah menerima anugerah emas di dalam kedua-dua penyertaan tersebut. Tahniah dan syabas saya ucapkan. Janganlah kita menganggap kejayaan tersebut sebagai kejayaan individu tetapi juga kejayaan kita semua. Ini menunjukkan komitmen, sokongan dan tanggungjawab yang tinggi telah dicurahkan oleh semua warga jabatan. Saya berharap agar kejayaan-kejayaan yang telah kita kecapi ini sentiasa diteruskan sehingga tahun ini dan tahun-tahun berikutnya. Semoga kita boleh kekalkan dan sentiasa meningkatkan budaya kecemerlangan ini dengan sentiasa melakukan peningkatan diri (self-development) tanpa sedikitpun ada sikap mengaku kalah. Pakukan keinginan diri untuk sentiasa menguasai ilmu, kemahiran dan semangat bekerja berpasukan.

 

Dari sudut pencapaian dalam pengurusan tadbir urus dan kehakiman di jabatan ini, iaitu berdasarkan Pelan Strategik 2019-2023 yang telah kita wujudkan, penilaian telah dilakukan oleh jawatankuasa yang dilantik bagi menilai perlaksanaan strategi dan program-program di bawah Teras 1 dan Teras 2. Kita telah mengenalpasti banyak program-program yang telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh tahun 2019. Contohnya ialah program yang melibatkan jalinan kerjasama, perundangan dan kehakiman, pengurusan KIK, pengurusan kewangan, kapasiliti tadbir urus dan lain-lain. Hanya terdapat sebilangan kecil program-program yang tak sesuai bolehlah diubah atau dipinda. Dan untuk tempoh tahun 2019 tersebut, kita telah berjaya mencapai sebanyak 62.05% pencapaian. Semoga kita dapat capai pencapaian melebihi 85% sepertimana kita sasarkan dalam tempoh 5 tahun perlaksanaan.

 

YB/YA/Tuan/Puan yang saya hormati,

Buat masa ini, kita masih belum berupaya untuk melaksanakan perbicaraan kes secara atas talian. Jika kita lihat perkembangan di Mahkamah Sivil, sepertimana yang pernah diutarakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, semasa perutusan awal tahun 2021 pada 1 Januari 2021, menyatakan bahawa pindaan undang-undang telah membenarkan untuk Mahkamah Sivil untuk mendengar kes secara atas talian selepas dikuatkuasakan pada 22 Oktober 2020 melalui platform e-Court. Prosedur bagi perlaksanaan tersebut telah dinyatakan untuk pindaan di dalam Rules of Court 2012, Rules of the Federal Court 1995 dan Rules of Court of Appeal 1994 untuk mengawal prosedur bagaimana untuk melaksanakan pendengaran secara atas talian. Menariknya, dalam era digital ini, Mahkamah Sivil telah merancangkan bagi tahun 2021 ini untuk menerima pengakuan salah bagi kesalahan trafik secara atas talian dan bayaran denda pula dibuat secara sistem eletronik. Perkembangan-perkembangan sebegini sepatutnya kita contohi dan sepatutnya kita dahului dengan lebih baik lagi.

 

Bagi tujuan itu, kita sekarang menyahut seruan yang disebut oleh YAA Dato’ Setia Dr Hj Mohd Naim bin Hj Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM semasa memberi perutusan awal tahun 2021 pada 4 Januari 2021, dalam menjayakan perancangan mendigitalisasikan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 5 Tahun (2021-2025) melalui sokongan infrastruktur Pusat Data Sektor Awam, Perkhidmatan MyGovCloud, MyGov*Net dan MyGovUC 2.0 yang disediakan oleh MAMPU. Bagi memperkasakan pendigitalan JKSM ini, perkhidmatan kesinambungan perkhidmatan JKSM melalui Pusat Pemulihan Bencana akan turut diperkukuhkan dan diperluaskan bagi aplikasi-aplikasi kritikal JKSM seperti Sistem E-Syariah, E-Faraid dan sistem dalaman JKSM.

 

Selain itu, kita juga berharap kita dapat menjayakan harapan kita yang telah lama kita impikan untuk tercapai, iaitu mewujudkan satu lagi hierarki Mahkamah Syariah menjadi 4 tier, bukan sahaja di Negeri Terengganu ini, tetapi di setiap negeri di dalam negara ini.

 

Akhir kata saya mengharapkan pencapaian kita selama ini kita sentiasa kekalkan. Kita tidak mahu wujudnya budaya ‘automation’, iaitu sikap selesa dalam zon sedia ada. Tapi kita mahu budaya berfikir secara kritis, konstruktif, amanah dan bertanggungjawab.

 

Dalam tempoh pandemik ini, jagalah diri dan amalkan sentiasa norma baharu dalam kehidupan seharian tidak kira di mana kita berada. Sama-sama kita doakan agar tahun 2021 ini kita dapat harungi dengan bersama-sama dan dapat lakarkan lebih banyak kejayaan. Semoga usaha-usaha dan kerja buat kita akan diterima oleh Allah SWT dan sentiasa diberkati oleh-Nya. Insya Allah.

 

Selamat Tahun Baru 2021.

 

بالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته و