25 April 2021 : Pendengaran Kes Rayuan Secara Sidang Video

Ditulis pada .

Pendengaran Kes Rayuan Secara Sidang Video

Di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu

 

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi. Hari ini Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu selesai mengadakan satu sesi sidang video buat julung kalinya bagi pendengaran kes rayuan. Pendengaran ini dibuat melalui aplikasi Zoom Meeting. Sebagai langkah menyokong kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19, pengurusan kes rayuan tersebut dibuat selaras dengan Garis Panduan Pendengaran Kes Rayuan Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh yang dikeluarkan Pekeliling Ketua Hakim Syarie Bil. 1/2021 pada 3 Februari 2021. Ini juga merupakan pilihan alternatif bagi mengurangkan kehadiran pihak-pihak secara fizikal terutamanya mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi.

Kes yang didengar ini merupakan rayuan harta sepencarian di mana Perayu dan kedua-dua Peguam Syarie sekarang menetap di Negeri Kelantan, dan sebagaimana dimaklumi bahawa negeri Kelantan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) pada masa ini. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk kes didengar secara atas talian dan telah memberi pemakluman awal. Sidang video ini telah menggunakan keperluan minima perkakasan, perisian dan capaian internet masing-masing. Walaupun terdapat sedikit gangguan akibat terputus capaian, namun pendengaran ini berjaya ditamatkan dengan baik.

Penghakiman telah diberikan oleh Y.A.A. Tuan Haji Wan Mohd Zakri bin Wan Mohd (Pengerusi Panel Hakim), Y.A.A. Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos (Ahli Panel Hakim), dan Y.A. Dato’ Haji Abdul Walid bin Abu Hassan (Ahli Panel Hakim).