Mahkamah Qadi

Berdasarkan kepada peruntukan Undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak 1955, Mahkamah Qadi disusun menjadi salah satu aktiviti di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Ketua kepada aktiviti mahkamah ialah Qadi Besar. Mahkamah Qadi pula disusun dalam dua tingkat, seperti berikut:


Mahkamah Qadi diketuai oleh Qadi Daerah yang menjalankan tugas, selain dari menjadi hakim juga bertindak sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Daerah. Qadi Daerah juga dilantik dari kalangan mereka yang berkhidmat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama, yang mana kemudiannya tertakluk di bawah Skim Pegawai Hal Ehwal Islam. Ketua Jabatan bagi Jabatan Hal Ehwal Agama ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama. Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan juga merupakan salah satu aktiviti Jabatan Hal Ehwal Agama dan tertakluk kepada Ketua Jabatan yang sama dengan Mahkamah Qadi iaitu Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama. Qadi Besar lazimnya dilantik daripada kalangan Pegawai kanan yang berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Agama, walau pun tidak mahir dalam pentadbiran kehakiman Islam. Mahkamah Apil Syariah lazimnya dipengerusikan oleh seorang Pengerusi yang dilantik daripada kalangan Pegawai Kanan Kerajaan yang telah bersara, begitulah juga dengan ahli-ahli Mahkamah Apil. Orang-orang seperti pesara dari jawatan Pegawai Daerah lazimnya dilantik menganggotai Mahkamah Apil.

Di Terengganu, Undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak 1955 (Undang-undang Bilangan 4 Tahun 1955 ) telah diluluskan bagi maksud menyusun pentadbiran, organisasi dan undang-undang bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Mahkamah Apil Syariah, Mahkamah Qadi Besar dan Mahkamah Qadi. Undang-undang ini berjalan kuatkuasanya sehingga pada 30 Julai 1987. Mulai 1 Ogos 1987, undang-undang berkenaan telah digantikan dengan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam, 1986 dan Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam, 1985.