Pengiktirafan JKSTR

Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan mengenai bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah, terkenal dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1984. Pindaan ini telah memberi kuasa yang lebih kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat iaitu hukuman penjara sehingga tiga tahun atau apa-apa denda sehingga RM 5000 atau sebat enam rotan atau gabungan kedua-dua hukuman tersebut. Akta ini adalah pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang hanya memperuntukkan hukuman apa-apa kesalahan boleh dihukum dengan penjara untuk satu tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM 1000 atau kedua-duanya.

Pada tahun 1988, Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan terhadap perlembagaan mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah terkenal dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 (Akta A 704) Perkara 121, Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak lagi mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan: "Mahkamah-Mahkamah yang disebut di dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah".

Dengan pindaan ini, kewujudan dan kewibawaan Mahkamah Syariah telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang mutlak unluk memutus dan menyelesaikan kes-kes atau apa-apa perkara yang terletak di bawah bidangkuasanya. Ini bermakna Mahkamah Sivil tidak boleh membicarakan sesuatu kes yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, sedangkan sebelum ini Mahkamah Sivil juga mempunyai bidangkuasa yang sama, di dalam beberapa kes dan Mahkamah Sivil boleh membicarakannya dan jika terdapat percanggahan maka keputusan Mahkamah Sivil adalah muktamad. Kesan pindaan ini telah diperkukuh lagi oleh keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Mohd. Habibullah bin Mahmood lawan Faridah bt. Datoi Talib pada 15 Disember, 1992 yang menegaskan "execlusive jurisdication" Mahkamah Syariah.

Kerajaan Persekutuan juga telah membuat pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia untuk memberikan kuasa tahan kepada Hakim Mahkamah Syariah seperti yang diberikan kepada seorang Majistret terkenal dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988, Perkara 5(4) Persekutuan. Dengan pindaan ini bererti Hakim Mahkamah Syariah telah diberi kuasa seperti seorang Majistret di dalam perkara kuasa tahan diri.

Untuk merealisasikan kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana dalam peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan itu, Kanun Tanah Negara (National Land Code) telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru iaitu seksyen 421A melalui Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 1991. Pindaan tersebut telah diluluskan dan berkuatkuasa mulai 1 Januari, 1993. Seksyen 421A berbunyi "Untuk maksud seksyen 417 dan 420 "Mahkamah" termasuk Mahkamah Syariah".

Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, di bawah Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM, untuk mempertingkatkan pelaksanaan Undang-undang Islam, memperluaskan bidangkuasa mahkamah Syariah dan menyelaras undang-undang sivil agar sesuai dengan Hukum Syarak.