Zaman Penjajahan

PENJAJAHAN (Bhg 1) :

Tidak dapat dinafikan bahawa kedatangan penjajah Inggeris dan campur tangannya di Tanah Melayu adalah bertujuan untuk menguasai ekonomi, politik, pentadbiran dan undang-undang serta menyebarkan agama Kristian di negara ini. Penjajah Inggeris menduduki Pulau Pinang dalam tahun 1786, Singapura 1819 dan Melaka pada tahun 1824. Setelah itu, dengan perjanjian bahawa Sultan bersetuju menerima seorang Residen British yang akan menasihati Sultan dalam semua perkara berhubung dengan pemerintahan kecuali dalam hal yang berkait dengan agama dan adat orang-orang Melayu, nasihat Residen British ini mestilah diikuti oleh Sultan, penjajah Inggeris memasuki negeri Perak mulai 20 Januari 1874, negeri Selangor mulai Ogos 1874, menyatukan kesembilan negeri di dalam satu persekutuan pada tahun 1895 di bawah pemerintahan Yang Di Pertuan Besar dan seorang Residen Inggeris sebagai penasihat di Negeri Sembilan, dan dalam tahun 1888 di negeri Pahang. Penjajah Inggeris kemudiannya bertindak campur tangan di negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu melalui Perjanjian Bangkok pada 9hb; Julai 1909.
Melalui perjanjian tersebut, Kerajaan Siam memindahkan segala hak kekuasaannya ke atas keempat-empat buah negeri itu kepada Inggeris, sementara Pattani diserahkan kepada Siam . Dalam tahun 1914 negeri Johor pula menerima Penasihat Inggeris. Dengan yang demikian sempurnalah sudah seluruh Tanah Melayu, selain Pattani, dijajahi oleh Inggeris.

Menurut pakar undang-undang, penjajah Inggeris mengenepikan undang-undang Islam dan adat Melayu dan menggantikannya dengan undang-undang Inggeris di Tanah Melayu (yang telah dijajah itu) adalah dengan dua cara, iaitu pertamanya dengan mengadakan undang-undang yang memerlukan undang-undang Inggeris itu diikuti dan yang keduanya dengan mengadakan mahkamah diketuai oleh hakim-hakim yang dapat mentadbir dan ada kalanya memasukkan undang-undang Inggeris.

Di Terengganu, usaha penjajah Inggeris melaksanakan undang-undang Inggeris dan mengenepikan undang-undang Islam yang telah dilaksanai di negeri ini bermula dengan Inggeris menubuhkan Joint Court yang dipengerusikan oleh British Agent bagi membicarakan, kononnya, kes-kes yang berkaitan dengan orang-orang Inggeris atau warga negara Inggeris sahaja. Terdapat juga hakim-hakim dari bangsa Melayu yang dilantik bertugas di mahkamah Joint Court ini. Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa membicarakan kes-kes yang berhubung dengan kesalahan jenayah dan tuntutan sivil.

Penjajah Inggeris juga telah membuat tanggapan bahawa undang-undang Islam yang ada dan berjalan di Terengganu pada ketika itu sebagai "The impractical requirements of Muhammadan Law" dan sukar dilaksanakan. Penjajah Inggeris berpendapat undang-undang Islam tersebut perlu digantikan dengan undang-undang Inggeris.

Ketika negeri Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942), atas nasihat Penasihat Inggeris, beberapa perubahan struktur organisasi dan bidangkuasa Jabatan Agama Islam Negeri telah dibuat serta perjalanan undang-undang telah diganti dengan undang-undang Inggeris, kecuali dalam perkara-perkara yang berhubung dengan undang-undang keluarga orang-orang Islam.

Kegagalan umat Islam menentang kemasukan undang-undang Inggeris dan pelaksanaannya di Tanah Melayu ini pada keseluruhannya dan negeri Terengganu khasnya lelah meninggalkan kesan yang besar ke atas kedudukan undang-undang Islam di negara ini.

PENJAJAHAN (Bhg 2) :

Kedudukan pentadbiran agama dan undang-undang Islam tidak banyak mengalami perubahan ketika zaman penjajahan Jepun (1942-1945).

Penjajah Inggeris terus berkuasa di Tanah Melayu setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Tindakan Inggeris yang paling berkesan ialah mengubah struktur pentadbiran agama Islam dan undang-undang Islam yang sedia wujud dengan menubuhkan, di Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, serta membuat undang-undang yang mempunyai bidangkuasa yang terhad untuk dilaksanakan di Mahkamah Qadi mengikut kehendak penjajah Inggeris itu sendiri. Undang-undang Inggeris pula dijalankan di mahkamah awam yang mana bidangkuasanya meliputi ke atas semua orang samada Islam atau pun bukan Islam. Bidangkuasa mahkamah awam ini mengatasi bidangkuasa Mahkamah Qadi, malah jika berlaku percanggahan antara undang-undang Islam dengan undang-undang Inggeris, walaupun di dalam kes yang melibatkan orang Islam, maka undang-undang Inggerislah yang dipakai. Sebelum tahun 1948, Mahkamah Qadi telah diletakkan di dalam struktur kehakiman. Susunan Mahkamah-mahkamah untuk pentadbiran undang-undang mal dan jenayah adalah seperti berikut:

(a) Mahkamah Rayuan
(b) Mahkamah Tinggi
(c) Mahkamah Magistret Kelas Pertama
(d) Mahkamah Magistret Kelas Kedua
(e) Mahkamah Kathi
(f) Mahkamah Penghulu

Dalam tahun 1948, melalui Courts Ordinance, pihak berkuasa British telah menubuhkan sistem kehakiman (awam) bagi Persekutuan dan telah meninggalkan Mahkamah Qadi. Dengan yang demikian melalui Courts Ordinance ini Mahkamah Qadi dipisahkan daripada mahkamah awam.

Sebuah perlembagaan bertulis telah dibuat bagi menjadi dasar pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan itu berkuatkuasa mulai 1 Febuari 1948. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu. Tanah Melayu diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957. Setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 , Perlembagaan Persekutuan meliputi Sabah dan Sarawak . Peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai (2) Butiran (1), Perlembagaan Persekutuan memperihalkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah diletakkan di bawah bidangkuasa negeri.