...


 


Ucaptama Ketua Hakim Syarie 2018

bis2

 

 

Terima kasih kepada puan pengerusi majlis, Yang Arif Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Yang berusaha Tuan Ketua Pendaftar, Yang dihormati Tuan Pengarah Khidmat Pengurusan, Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pegawai-pegawai, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian.

bis


Syukur Alhamdullilah ke hadrat Allah S.W.T di atas limpahan rahmatNya kita semua dapat bersua lagi pada pagi yang indah ini. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad . Terima kasih diucapkan kepada yang hadir dalam perhimpunan awal tahun pada hari ini. Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk terus menikmati keindahan alam ciptaan Allah dan kita juga dapat terus berbakti kepada masyarakat sebagai penjawat awam. Di sini, masih belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada semua.

Apabila masuk sahaja tahun baru, maka usia kita juga semakin bertambah. Kita tidak perlu takut pada umur kerana ianya hanya sekadar angka. Apa yang perlu kita takut dan bimbang adalah jika kita gagal menggunakan sisa-sisa umur yang ada sebaiknya. Mati itu pasti. Marilah sama-sama kita muhasabah diri untuk memanfaatkan usia yang diberi pinjam oleh Allah s.w.t kepada kita. Sebagai penjawat awam juga, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memanfaatkan sebaik mungkin. Oleh itu, marilah sama-sama kita melangkah ke jalan yang lebih baik dan mengambil peluang yang baik di sekeliling kita serta menjalankan amanah yang dipertanggungjawab dengan sebaiknya.  

YA/Tuan/Puan,
Di dalam hidup ini, jangan fikir kita adalah yang terbaik. Sebaliknya apa yang perlu difikir ialah bagaimana untuk menjadi lebih baik. Dalam sesuatu perkara, bukan kita yang pakar atau terbaik keseluruhannya. Mungkin kita hanya terbaik dalam satu hal sahaja, tapi dalam hal lain orang lain adalah terbaik. Masing-masing di kalangan kita ada kepakaran yang tersendiri. Sebagai contoh, Hakim dibantu oleh Pembantu Hakim yang terbaik. Maka, hasil kerjanya menjadi terbaik kerana adanya gabungan tenaga dan kerjasama yang terbaik di kalangan mereka. Begitu juga dengan unit-unit yang lain.Bermula pada tahun 2018, JKSTR mesti ada plan (perancangan) untuk kita jadi yang lebih baik berbeza dengan sebelum-sebelumnya. Dan perbezaan itu menjadikan kita bertambah baik bukan menjadi kurang baik dari sebelumnya.      

YA/Tuan/Puan,
Di sini juga saya ingin menyentuh beberapa Pekeliling Perkhidmatan Awam yang baru yang mula berkuatkuasa pada tahun 2018. Antaranya seperti:-
1.         Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2017 - Kemudahan Cuti Umrah
Kemudahan kerajaan memberikan cuti umrah yang merupakan cuti tanpa rekod menunaikan ibadah umrah sekali sepanjang tempoh perkhidmatan - maksimum tujuh (7) hari.

2.         Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2017 - Penambahbaikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) Di Agensi Kerajaan Persekutuan
Kerajaan bersetuju menambah satu lagi Waktu Peringkat (WP) dalam jadual Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang sedia ada di semua agensi kerajaan Persekutuan di seluruh negara iaitu dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang.  

3.         Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2017  -Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam
Kerajaan bersetuju untuk menambah cuti bersalin bergaji penuh daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

4.         Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2017 - Bayaran Khas Aidilfitri Tahun 2018
Kerajaan telah memutuskan supaya Bayaran Khas Tahun 2017 sebanyak RM1,000.00 dan Bayaran Khas Aidilfitri Tahun 2018 sebanyak RM500.00 diberi kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan di atas keperihatinan kerajaan menghargai kesetiaan penjawat awam dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap dan berkesan kepada rakyat.
5.         Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2017 - Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan Bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana
Bagi memberi peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana, kerajaan telah bersetuju supaya pelaksanaan kenaikan pangkat time-based brasaskan kecemerlangan dipanjangkan kepada pegawai yang berada 13 tahun atau lebih di lapisan pertama gred kenaikan pangkat untuk dinaikkan pangkat secara KUP ke lapisan kedua gred kenaikan pangkat berdasarkan time-based kecemerlangan.

6.         Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 -  Pelaksanaan Kebenaran Pulang Awal Satu jam Kepada Pegawai Wanita Yang Mengandung
7.         Pekeliling Perlkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2017 - Kebenaran Gantian Cuti Rehat Melebihi 150 hari Digunakan Sebagai Cuti Rehat Pada Tahun Persaraan

Manakala, bagi kerajaan Negeri antara pekeliling terkini adalah bagi SKT Ketua Jabatan mesti memasukkan pelaksanaan inovasi.

YA/Tuan/Puan,
Antara perkara yang dapat dikongsikan melalui perjumpaan YAA Ketua Hakim Syarie dan Y.A.B Menteri secara tertutup adalah berkenaan sokongan untuk menjayakan RUU 355.  Antara peranan kita adalah menunjukkan kepada mereka yang beragama bukan islam bahawa sebatan syariah adalah bukan sepertimana yang diuar-uarkan kepada umum yang menyebabkan persepsi berbeza dan berlaku kesalafahaman. Demostrasi sebatan ini juga boleh ditunjukkan dalam program kerajaan akan datang iaitu Ekspo Terengganu 2018.
Seterusnya, bagi hala tuju JKSTR 2018 saya juga ada merangka 7 kluster memperkasakan Mahkamah Syariah seperti berikut:-
1. Memperkasakan penubuhan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Nerus;
2. Memperkasakan Kaedah-kaedah;
3. Memperkasakan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman;
4. Memperkasakan latihan;
5. Penambahbaikan rohani;
6. Memperbanyakkan inovasi; dan
7. Mempertingkatkan sistem promosi dan penyampaian perkhidmatan jabatan.

Memandangkan masa begitu mencemburui saya pada hari ini, maka penerangan berkenaan hala tuju dan kluster tersebut akan saya jelaskan dalam perhimpunan seterusnya. Untuk itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga kerja JKSTR atas kecemerlangan jabatan pada tahun 2017 dan berharap agar kita semua terus bersatu dalam sama-sama berjuang untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Sekian, terima kasih.

Y.A.A Ketua Hakim Syarie Terengganu
01 Jamadil Awal 1439H
18 Januari 2018


...
Malaysia
...
JKSM
...
MAMPU
...
JPA
...
SUK Terengganu
...
JKSN Johor
...
JKSN Pulau Pinang
...
JKSN Kedah
...
JKSN SELANGOR
...
JKSN PERLIS
...
JKSN Perak
...
HRMIS