Soalan Lazim

Support/FAQ

Segmen ini akan memaparkan beberapa soalan yang lazimnya ditanya oleh para pelanggan

Soalan-soalan yang dikumpulkan telah dijawab dan dipersetujui oleh Pegawai Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

 

Soalan 01 : Berkahwin Dengan Gadis Di Bawah Umur

Adakah seseorang lelaki yang ingin berkahwin dengan gadis di bawah umur akan dikenakan denda apabila lelaki tersebut meminta kebenaran berkahwin dari mahkamah, dan berapakah denda yang harus dibayar?

Tiada sebarang denda yang dikenakan kepada pasangan yang ingin berkahwin dibawah umur. Tetapi, pasangan tersebut hendaklah membuat Permohonan Kebenaran Kahwin Bawah Umur di Mahkamah Syariah di daerah tempat tinggal. Dengan adanya kebenaran kahwin dari mahkamah, barulah perkahwinan dapat diteruskan.

Soalan 02 : Kunseling Perkahwinan

Bagaimanakah caranya untuk saya mendapatkan kaunseling perkahwinan kerana saya dan suami sentiasa bergaduh dan saya risau suatu hari nanti perkahwinan kami akan berakhir dengan perceraian.

Untuk makluman puan, kaunseling perkahwinan boleh didapati di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) atau dengan panggilan 'Pejabat Agama'. Puan dan suami bolehlah pergi ke Pejabat Agama untuk mendapatkan kaunseling berkenaan dengan perkahwinan.

Soalan 03 : Dimanakah Permohonan Poligami Perlu Didaftar

Saya tinggal di Bukit Payung Marang dan bekerja di Kuala Terengganu. Isteri saya bekerja dan tinggal di Kuantan. Kalau saya ingin membuat permohonan berpoligami, dimanakan saya perlu menghantar borang permohonan dan bagaimanakah caranya.

Tuan boleh membuat permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. Sekiranya alamat pada kad pengenalan tuan adalah diluar negeri terengganu, maka tuan perlu menyediakan Surat Akuan Bermastautin dari JKK atau majikan tuan. Affidavit Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa juga diperlukan kerana isteri tuan sekarang berada di Kuantan. Borang permohonan kebenaran berpoligami dan Affidavit Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa boleh didapati di Kaunter Setempat, Aras 2, Bangunan Mahkamah Syariah.

Soalan 04 :Khidmat Bantuan Guaman

Dimanakah saya boleh dapatkan khidmat bantuan guaman dan berapakah kos guaman?

Untuk mendapatkan khidmat nasihat/bantuan guaman, puan bolehlah pergi ke Jabatan Bantuan Guaman di Wisma PERKESO, Aras 1, Jalan Air Jernih atau sekiranya puan ingin menggunakan khidmat guaman swasta, puan bolehlah pergi ke mana-mana Firma yang dipilih. Senarai nama peguam boleh didapati di dalam laman web kami, ( modul Panduan Pelanggan --> Senarai Peguam Syarie). Manakala untuk mengetahui kos guaman, puan perlu bertanya kepada Firma guaman itu sendiri.

Soalan 05 : Dokemen Berkaitan Dengan Perceraian

Sekiranya saya ingin membuat tuntutan Fasakh atau permohonan Perceraian, apakah dokumen-dokumen yang diperlukan? Dimanakah saya boleh dapatkan dokumen-dokumen berkenaan?

Dokumen yang diperlukan ialah 4 salinan borang affidavit, 2 salinan ic pemohon dan 2 salinan sijil nikah. Puan bolehlah pergi ke mahkamah syariah daerah tempat tinggal puan untuk mendapatkan contoh borang affidavit permohonan.

Soalan 06 : Kelewatan Melaporkan Perceraian

Jika suatu perceraian berlaku diluar mahkamah 2 bulan yang lepas, tetapi suami isteri tersebut tidak mlaporkan kepada pihak mahkamah, adakah masih boleh melaporkan kepada pihak mahkamah? Berapakah denda yang akan dikenakan?

Untuk makluman puan, sekiranya suatu perceraian berlaku diluar mahkamah, maka suami/isteri perlulah melaporkan perceraian tersebut dengan segera di mahkamah syariah daerah tempat tinggal suami/isteri. Dalam kes puan, walaupun perceraian telah berlaku 2 bulan yang lepas, tapi puan masih boleh mendaftar (tiada tempoh masa yang ditentukan untuk seseorang itu mendaftarkan perceraiannya) di mahkamah syariah daerah tempat tinggal puan. Bidangkuasa mahkamah syariah ialah menentukan sama ada suatu perceraian yang berlaku itu menyebabkan jatuhnya talaq atau tidak. Tiada sebarang denda yang dikenakan dari mahkamah syariah.

Soalan 07 : Lafaz Suami Yang Tidak Jelas

Saya dan suami telah bergaduh, dalam pergaduhan itu suami telah mengatakan yang hubungan kami sudah tiada apa-apa lagi. Dia sudah tidak mempunyai perasaan lagi terhadap saya dan meminta agar kami membawa haluan masing-masing. Apakah status hubungan kami?

Untuk makluman puan, puan bolehlah datang ke Mahkamah Rendah Syariah daerah tempat tinggal puan dan mendapatkan contoh Borang Afidavit untuk membuat pengesahan lafaz cerai bagi memastikan maksud/niat sebenar lafaz suami puan itu. Mahkamah akan memutuskan samada lafaz itu menyebabkan jatuhnya talaq atau tidak.

Soalan 08 : Perkahwinan Diluar Negara Yang Belum Berdaftar

Saya bernikah di Thailand 16 tahun lalu dengan sorang duda dan masih belum berdaftar di Malaysia, memandangkan kesusahan saya untuk membayar denda maka saya abaikan. Dalam kesusahan begini suami saya sempat lagi berkahwin lain kira-kira 3 bulan lalu dengan menggunakan status dudanya itu. Saya ingin minta pandangan apa yang harus saya lakukan.

Untuk makluman puan, apabila seseorang telah berkahwin diluar negara, pasangan tersebut perlulah membuat pengesahan perkahwinan (mengesahkan suatu akad nikah perkahwinan) di Mahkamah Syariah dengan segera. Ini kerana salah satu bidangkuasa Mahkamah Syariah ialah menentukan samada sesuatu perkahwinan yang berlaku itu sah mengikut hukum syarak atau tidak. Pihak kami nasihatkan puan supaya sila buat Pengesahan Perkahwinan di Mahkamah Syariah daerah tempat tinggal puan untuk memastikan status sebenar perkahwinan puan. Berkenaan dengan suami puan berkahwin lain dengan menggunakan status dudanya itu, jika dilaporkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan kes tersebut disiasat, maka suami puan boleh didakwa diatas 2 kesalahan, iaitu memberi maklumat palsu untuk berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Soalan 09 : Pertindihan Pendaftaran Kes

Saya telah mendapat perintah jagaan sementara anak (ex-parte) di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu. Dalam masa 14 hari suami saya tidak membuat bantahan tetapi terus memohon hadanah di Mahkamah Syariah Shah Alam tanpa pengetahuan saya. Dalam masa yang sama, saya juga memfailkan fail induk hadanah di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu (lewat sedikit dari tarikh suami memohon). Terdapat pertindihan tuntutan di situ. Jadi yang manakah akan di beri keutamaan? Bagaimanakah caranya saya memohon untuk diadakan proses bicara di Kuala Terengganu? Untuk pengetahuan tuan, saya juga ada memfailkan tuntutan nafkah anak dan fasakh di terengganu.

Untuk makluman puan, kes tuntutan hadhanah tersebut akan diberi keutamaan mengikut mana dahulu yang didaftarkan. Ini bermaksud, kes hadhanah yang didaftarkan oleh suami puan di mahkamah syariah shah alam itulah yang akan didengar . Manakala bagi kes tuntutan nafkah anak dan fasakh, akan dibicarakan di mahkamah dimana pendaftaran telah dibuat. Setakat ini, tiada cara untuk membolehkan kes yang didaftarkan di mahkamah syariah luar terengganu dibicara di mahkamah syariah dalam negeri terengganu. Tetapi sekiranya suami puan menarik balik kes tuntutan hadhanah tersebut, barulah puan boleh mendaftarkan kes itu di mahkamah syariah terengganu.

 

Muka surat seterusnya..