Soalan Lazim

Support/FAQ

Segmen ini akan memaparkan beberapa soalan yang lazimnya ditanya oleh para pelanggan .

Soalan-soalan yang dikumpulkan telah dijawab dan dipersetujui oleh Pegawai Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

 

Soalan 10 : Sebutan Pertama

Berapa lamakah tempoh bagi sesuatu kes akan disebut selepas proses pendaftaran selesai?

Selepas proses pendaftaran sempurna, tarikh sebutan pertama bagi sesuatu kes adalah ditetapkan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Ini adalah selaras dengan Arahan Amalan No. 2 Tahun 2001. Oleh yang demikian, selepas proses pendaftaran selesai Pemohon/Plaintif/Peguam Syarie akan menerima resit pendaftaran beserta saman yang menyatakan tarikh sebutan pertama.

Soalan 11 : Khidmat Guaman

Apakah yang boleh saya lakukan sekiranya saya tidak mampu untuk menggunakan khidmat nasihat peguam swasta dalam perbicaraan kes saya? .

Sekiranya anda tidak mampu untuk menggunakan khidmat nasihat peguam swasta, anda bolehlah mendapatkan khidmat nasihat peguam kerajaan di Jabatan Bantuan Guaman Terengganu.

Soalan 12 : Perceraian Di Luar Mahkamah

Apakah tindakan yang wajar dilakukan sekiranya penceraian berlaku di rumah?.

Penceraian boleh berlaku di mana-mana sama ada di luar Mahkamah atau di dalam Mahkamah. Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut.

Soalan 13 : Perkahwinan Di Luar Negara

Saya dan suami telah melangsungkan perkahwinan di Thailand tanpa pengetahuan keluarga. Adakah saya perlu mendaftar perkahwinan tersebut?

Setiap perkahwinan yang sah menurut Hukum Syara’ hendaklah didaftarkan. Bagi kes puan, puan hendaklah terlebih dahulu membuat Permohonan Pengesahan Pernikahan di Mahkamah bagi menentukan sama ada pernikahan yang dilangsungkan itu adalah sah atau sebaliknya.

Soalan 14 : Tuntutan Poligami

Suami saya membuat Permohonan Poligami di Mahkamah. Apakah tuntutan yang boleh saya tuntut dari suami sekiranya saya mengizinkan suami saya berpoligami?

Antara tuntutan yang boleh puan tuntut semasa perbicaraan kes poligami tersebut adalah seperti Tuntutan Nafkah Isteri, Tuntutan Harta Sepencarian, Tuntutan Nafkah Anak dan Tuntutan Hak Tempat Tinggal.

Soalan 15 : Majlis Sulh

Saya telah memfailkan Tuntutan Mutaah terhadap bekas suami saya dan kes tersebut diedarkan kepada Majlis Sulh. Apakah Majlis Sulh?

Menurut Syara’ Sulh ialah “suatu aqad yang dengannya tamat suatu pertikaian.” Secara amnya Sulh merupakan penyelesaian suatu pertikaian antara pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan cara persetujuan bersama antara mereka sendiri dan bukannya diputuskan oleh pihak ketiga.

Soalan 16 : Tuntutan Selepas Perceraian

Apakah hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas berlaku perceraian?

Antara hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas suatu perceraian berlaku ialah:
-Hutang Maskahwin
-Nafkah ‘Iddah
-Tunggakan Nafkah Isteri
-Mutaah
-Hak Mendapatkan Tempat Tinggal
-Harta Sepencarian
-Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
-Nafkah Anak.

Soalan 17 : Prosedur Pendaftaran Pernikahan Luar Negara

Apakah prosedur untuk mendaftarkan perkahwinan di Malaysia sekiranya sudah bernikah di luar Negara?

Sekiranya sesuatu pernikahan telah berlangsung di luar Negara, maka pihak-pihak perlu mendaftarkan perkahwinan tersebut dengan kadar sebarapa segera setelah pulang ke Malaysia.
Menurut Seksyen 29 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985, jika seseorang yang bermastautin di Terengganu telah berkahwin di luar negeri dengan sah menurut Hukum Syara’, maka pendaftaran perkahwinan itu hendaklah dibuat dalam masa dua (2) bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai ke Malaysia dengan cara hadir di hadapan mana-mana Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam di Terengganu. Pihak-pihak hendaklah:-

  1. Mengemukakan kepada Pendaftar itu surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan sama ada lisan atau dokumentar;
  2. Memberi apa-apa butiran sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar; dan
  3. Memohon dalam borang yang ditetapkan supaya perkahwinan itu didaftarkan dan menandatangani akuan di dalamnya.

Walaubagaimanapun, bagi proses pendaftaran tersebut pihak-pihak terlebih dahulu hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Pernikahan di Mahkamah Syariah sebagaimana di bawah Seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 bagi menentukan sama ada pernikahan yang berlangsung itu sah mengikut Hukum Syara’ atau sebaliknya