Hak Suami & Isteri (Membuat Tuntutan Dalam Tempoh Perkahwinan)

Suami dan Isteri masih mempunyai hak untuk membuat tuntutan ketika masih dalam tempoh perkahwinan. Antara tuntutan yang dibenarkan adalah:

 

Nafkah Diri

Mengikut Hukum Syarak, seseorang isteri yang taat berhak mendapat nafkah daripada suaminya. Undang-undang Keluarga Islam Negeri pula telah memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh memerintah seseorang lelaki sama ada suami atau lelaki lain yang tertentu seperti anaknya yang berkemampuan (jika suami tidak upaya dari segi mental dan fizikal) membayar nafkah kepada seseorang isteri.

Hak Jagaan Anak

Mengikut Hukum Syarak, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya dalam mase perkahwinan dan juga selepas perkahwinan dibubarkan kecuali jika ia berkahwin dengan lelako lain yang bukan mahram kepada anak itu, berakhlak buruk secara keterlaluan dan terbuka, murtad, cuai atau menganiaya kanak-kanak itu dan berpindah dengan tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu (melainkan berpindah ke tempat lahir perempuan tersebut).

Nafkah Anak

Mengikut Hukum Syarak, bapa adalah wajib menanggung nafkah anak-anaknya yang masih di bawah tanggungannya dan yang tidak berkemampuan. Mahkamah boleh memerintahkan sesorang bapa membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya jika ia telah enggan atau cuai meperuntukkan nafkah anaknya, meninggal langsung isteri dan anaknya itu dalam jagaan isterinya serta dalam masa menanti sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri.

Tunggakan Nafkah

Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut dimana-mana Mahkamah Syariah.

Tunggakan Nafkah Anak

Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada Mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.

Hak Tempat Tinggal

Suami adalah kewajipan menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan munasabah untuk isterinya sama ada secara menyewa atau miliknya sendiri. Isteri boleh membuat tuntutan di Mahkamah Syariah sekiranya suami tidak menyediakan keperluan tersebut dan tidak menjadi nusyuz sekiranya isteri enggan mengikut suami.

Hak Cagaran Nafkah

Isteri yang berhak mendapat nafkah daripada suaminya, boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk memerintahkan ke ata suaminya supaya memberi cagaran dengan meletakkan apa-apa harta kepada pemegang-pemegang amanah yang ditentukan oleh Mahkamah bagi tujuan pembayaran nafkah atau sebahagian darinya bagi menjamin bayaran nafkah itu dapat dilaksanakan dengan teratur dan dijelaskan pada masa yang telah ditetapkan.

Nafkah Sementara

Isteri atau wakilnya, berhak memohon kepada Mahkamah satu perintah sementara nafkah bagi dirinya semasa prosiding Mahkamah sedang berjalan, sehingga satu keputusan Mahkamah Syariah muktamad dikeluarkan.

Perintah Tegahan

  1. Mana-mana pihak boleh memohon kepada Mahkamah satu perintah tegahan atau larangan kepada seseorang untuk menahan dirinya dari mengganggu, mencerca, memaki hamun, menceroboh, memukul, mendera atau menganiaya keatas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.
  2. Mana-mana pihak boleh memohon kepada Mahkamah satu perintah tegahan atau larangan menahan transaksi harta yang akan mengurangkan keupayaan mana-mana pihak melaksanakan perintah-perintah nafkah isteri, nafkah anak, harta sepencarian dan mut'ah.