Bismillahirahmanirrahim,
Alhamdulillahi Rabbil Alamin Wassolatu Wassolamu ala Asha Rafil Anbiyar Iwar Mursolin Waala Alihi Wasibihi Ajmain.
Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana atas izin dan Rahmat-Nya maka pada hari ini kita dapat berkumpul bersama, bersua muka semenjak permulaan tahun baharu ini, dalam majlis yang serba meriah dan indah ini, MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2024. Sepatutnya majlis ini dirancang untuk diadakan pada hari khamis minggu lepas, namun atas sebab kekangan masa dan waktu ketika, terpaksa ditangguhkan pada hari ini.
Marilah juga kita sama-sama mengucapkan rasa kesyukuran kepada-NYA kerana telah memberi kesihatan yang baik sehingga kini, kita masih mampu bernafas setiap kali kita buka mata bangun pagi. Jadikan kesakitan yang kita alami sebelum-sebelum ini sebagai peringatan akan seksa kubur dan neraka yang lagilah berat, agar kita boleh jadikan ia sebagai iktibar, insyaAllah sakit-sakit itu sebagai pengganti kepada dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar.
Tuan/ Puan Hadirin sekalian,
Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, nama jabatan kita. Dalam nama pejabat kita ini ada dua istilah penting yang melambangkan jati diri kita sebagai warga kerja, yakni KEHAKIMAN dan SYARIAH. Inilah core business kita sejak turun temurun, iaitu mendengar dan memutuskan kes mal dan jenayah syariah. Dan individu yang paling utama dalam menjayakan fungsi-fungsi jabatan ini ialah Hakim Syarie.
Sebagai seorang Hakim, kita mestilah sentiasa mendalami ilmu secara lebih mendalam. Ini kerana ilmu tidak akan cukup, tidak akan berhenti malahsentiasa berkembang. Hakim-hakim wajib mahir dan cekap menggunakan peruntukan-peruntukan dalam enakmen yang sedia ada, kaedah-kaedah, arahan-arahan amalan yang diendorskan di Negeri Terengganu, malahan semua akta-akta yang digubal di parlimen yang menyentuh soal kehakiman syariah. Kemudian, setelah bergantung penuh dengan undang-undang syariah yang telah ditakninkan itu, hakim kenalah menyokong dengan nas-nas berkaitan. Jangan main sesuka hati membuat hujahan tanpa ada dalil-dalil. Dan pemahanan terhadap pengajian fiqh mestilah di tahap tertinggi. Apatah lagi gelaran hakim di mahkamah syariah ditulis sebagai ‘HAKIM SYARIE’, jadi perkara-perkara syariah menjadi satu keperluan paling penting untuk hakim faham dan hadam sehingga melekat dalam diri.
Selain itu, hakim-hakim mestilah peka kepada isu-isu semasa mengenai apa-apa keputusan terutamanya keputusan di mahkamah-mahkamah syariah di Negeri-negeri lain. Konsep binding of precedent mungkin tidak terpakai dalam mahkamah syariah tetapi tetap kita kena peka kepada keputusan-keputusan oleh mahkamah rayuan syariah negeri dan Negeri-negeri lain. Ini penting untuk mewujudkan standardisation dan unifomity keputusan-keputusan mahkamah tinggi dan rendah syariah di seluruh malaysia. Begitu juga dengan keputusan mahkamah persekutuan, hakim-hakim mestilah ambil tahu dan fahamkan. Observe and compare every each of cases. Walaupun hakim boleh membuat ijtihad dalam membuat keputusan, seelok-eloknya jangan letakkan diri dalam ‘circle’ kita semata-mata sehingga keputusan boleh jadi seperti syok sendiri, atau mengikut emosi, atau mengikut rutin harian, tetapi kena ada hujahan dan bukti yang mendokong
Apabila buat alasan penghakiman pula, hakim-hakim mestilah membuat penghakiman yang bermutu yang menjadikan keadilan sebagai dasar utama. Penghakiman yang mementingkan keadilan akan menjadikan kedudukan keputusan kes dan hukuman yang kita jatuhkan ke atas pesalah menjadi lebih kredibel (dipercayai), dihormati, digeruni, diikuti atau dijadikan rujukan, malah memuaskan hati semua pihak
Semasa proses pra-perbicaraan pula, terutamanya sebutan kes dan majlis sulh, ingin saya ingatkan agar semua pegawai-pegawai berkaitan mengambil maklum berkenaan bidang tugas masing-masing, jangan melampaui batasan tugasan yang telah ditetapkan. Ambil tahulah peranan dan ingat takat punca kuasa.
Tuan/ Puan Hadirin sekalian,
Sebagaimana saya selalu ingatkan dalam amanat-amanat saya pada tahun-tahun sebelum ini, kita sebagai satu warga kerja jabatan yang memberi penyampaian khidmat kepada rakyat merupakan satu pasukan. Tiada istilah ‘bekerja secara solo’. Setiap perubahan yang ingin dilakukan, ataupun apa-apa cadangan perlaksanaan sistem yang ingin diamalkan di unit /bahagian/ daerah-daerah, hendaklah melalui aliran yang betul. Maksud saya, jangan kita pandai-pandai buat secara sendiri. Tetapi hendaklah merujuk kepada pihak pengurusan, ketua jabatan terlebih dahulu untuk diteliti dan dipertimbangkan. Setiap permasalahan hendaklah dilaporkan secara rasmi kepada ketua jabatan supaya tindakan penambahbaikan dan pembetulan (corrective action) dapat diambil secara bersepadu. Berhentilah bersikap ‘one man show’ sebaliknya hendaklah dibawa dalam mesyuarat supaya segala tindakan yg bakal diambil adalah secara rasmi dan standard.
Sistem-sistem yang telah berjaya dibangunkan pula perlulah disusun dan diselaraskan dengan sistem pengurusan kes. Jangan jadikan projek kita sebagai ‘alat’ untuk dipertandingkan sahaja, ia mestilah juga dilaksanakan di keseluruhan jabatan ini. Projek-projek lama yang tidak aktif perlulah dilihat kembali, dikaji keberkesanannya dan dibuat penambahbaikan. Kena ingat, proses dalam sistem penyampaian kerja kita sekarang tidak lagi dalam kedudukan untuk memperolehi sesuatu pencapaian. Kita telah berada di dalam fasa perlaksanaan, iaitu kita telah mencapai hasil dalam proses kerja kita. Maka di fasa ini, kita perlu membuat pemantauan berterusan, penambahbaikan perlaksanaan dan pembaharuan-pembaharuan yang perlu, seterusnya memaksimakan perlaksanaan tersebut. Bersesuaian dengan inovasi-inovasi kita buat dengan pelbagai projek yang dipertandingkan sehingga ke peringkat antarabangsa, di mana kita telah meng’sistem’kan semua proses kerja, sedikit demi sedikit sebenarnya telah menambahkan tahap penggunaan teknologi di jabatan ini
Tuan/ Puan Hadirin sekalian,
Alhamdulillah, Pelan Strategik JKSTR bagi tempoh 2019 sehingga 2023 telahpun tamat beroperasi dalam tempoh 5 tahun. Setakat 5 tahun itu juga, 8 strategi dengan 27 program tersebut telah dipantau bersama-sama 41 indikator. Semasa pemantauan dan pengukuran dilakukan, majoriti program telah mencapai sasaran yang ditetapkan, dan beberapa program tidak mencapai sasaran. Terdapat juga program-program tidak diukur disebabkan pandemik Covid-19 yang menimpa negara sehinggakan program-program yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Mengikut penilaian dan pemantauan oleh Jawatankuasa Perancangan Strategik JKSTR, peratusan pencapaian bagi tiap-tiap tahun perlaksanaan program adalah seperti berikut :-
Apa-apa pun saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua warga kerja yang telah membawa kita semua ke kedudukan sekarang ini. Saya harapkan kita semua masih bersemangat malah sentiasa bersemangat bekerja secara berpasukan ini.
Sebelum saya tutup kata-kata saya ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kumpulan KIK, Fountain of Justice, yang telah berjaya mengharumkan nama jabatan kita sehingga ke peringkat antarabangsa dalam ICQCC di Beijing, China pada tahun lepas 2023. Tidak lupa juga kumpulan Quantum of Justice yang telah melayakkan diri ke peringkat antarabangsa dalam ICQCC di Sri Langka pada tahun 2024 ini.
Saya juga ucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan penghargaan pada hari ini bagi kategori MS ISO, kumpulan KIK dan juga kakitangan yang bertukar. Dalam masa yang sama, saya ucapkan selamat datang kepada pegawai dan kakitangan yang baharu dan yang bertukar ke jabatan ini.
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.