User Rating: 4 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Inactive
 
Soalan 1 : Perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara.
Saya dan suami telah melangsungkan perkahwinan di wilayah Pattani Thailand tanpa pengetahuan keluarga. Adakah saya perlu mendaftar perkahwinan tersebut di Malaysia?
 
Setiap perkahwinan yang sah menurut Hukum Syara’ hendaklah didaftarkan. Bagi kes puan, puan hendaklah terlebih dahulu membuat Permohonan Pengesahan Pernikahan di Mahkamah bagi menentukan sama ada pernikahan yang dilangsungkan itu adalah sah atau sebaliknya.
 

Soalan 2 : Lafaz Cerai Suami Yang Tidak Jelas

Saya dan suami telah bergaduh, dalam pergaduhan itu suami telah mengatakan yang hubungan kami sudah tiada apa-apa lagi. Dia sudah tidak mempunyai perasaan lagi terhadap saya dan meminta agar kami membawa haluan masing-masing. Suami saya juga ada melafazkan, “Aku lepaskan kamu mulai hari ini”. Apakah status hubungan kami?

Untuk makluman puan, puan bolehlah datang ke Mahkamah Rendah Syariah daerah tempat tinggal puan dan mendapatkan contoh Afidavit untuk membuat pengesahan lafaz cerai bagi memastikan maksud/niat sebenar lafaz suami puan itu. Ianya perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah akan memutuskan sama ada lafaz itu menyebabkan jatuhnya talaq atau tidak.

 

Soalan 3 : Penentuan Status Isteri Nusyuz

Saya dan suami seringkali bergaduh, dalam pergaduhan  beberapa minggu lepas, suami telah bertindak memukul saya dengan menggunakan senjata tajam. Suami juga mendera mental dan fizikal saya. Beberapa hari selepas itu, saya telah bertindak melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan oleh suami saya. Suami telah mencanangkan kepada keluarga dan kawan-kawan saya bahawa saya sebagi isteri yang nusyuz? Adakah saya telah disabitkan sebagai seorang isteri yang nusyuz?

Untuk makluman puan, sabitan sama ada seorang isteri tersebut nusyuz atau pun tidak sebenarnya tidak sesewenang-wenangnya boleh ditentukan oleh seseorang suami. Dakwaan bahawa seseorang isteri itu telah nusyuz adalah dengan si suami mengemukakan terlebih dahulu tuntutan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah. Setelah itu, di dalam prosiding perbicaraan, suami hendaklah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh terhadap dakwaan yang dibuatnya terhadap isteri. Hakim Syarie adalah orang yang kompeten untuk memutuskan sama ada telah berlaku perbuatan nusyuz tersebut atau sebaliknya seterusnya mensabitkan seseorang isteri itu telah nusyuz. Hak seseorang isteri tidak sesekali gugur sehinggalah sabitan nusyuz diputuskan di Mahkamah Syariah.


Soalan 4 : Bolehkah seseorang isteri itu tinggal berasingan dengan suaminya semasa prosiding tuntutan fasakh sedang berjalan?. Ini kerana tuntutan fasakh dibuat atas alasan suami seorang yang mengalami masalah mental yang kritikal dan seringkali berada di luar kawalan sehingga memukul isteri, mencederakan bahkan membahayakan nyawa isterinya?

Boleh. Jika isteri bimbang bahawa suaminya akan bertindak balas dengan memukul dan membahayakan nyawanya setelah dia memfailkan tuntutan fasakh tersebut, atau mengenakan tekanan mental dan emosi yang bersangatan terhadapnya, maka semasa memfailkan tuntutan fasakh tersebut, isteri bolehlah memfailkan permohonan injunksi / tegahan kacau ganggu secara ex-parte.
 

Soalan 5 : Tunggakan Nafkah isteri

Suami saya seorang yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak memberi nafkah zahir kepada saya sepanjang perkahwinan kami. Hal ini berterusan sehinggalah 3 tahun berturut-turut. Adakah saya berhak membuat tuntutan tunggakan nafkah terhadap suami saya yang cuai dalam menyediakan nafkah isteri kepada saya sungguhpun kami tidak bercerai ?

Untuk makluman puan, puan bolehmemfailkan tuntutan tunggakan nafkah isteri. Tuntutan nafkah isteri bukan hanya boleh dituntut selepas berlakunya perceraian, namun ianya juga boleh difailkan semasa dalam perkahwinan. Jika suami tidak pernah memberi nafkah semasa tempoh perkahwinan, isteri boleh mengajukan tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan tunggakan nafkah tersebut.

 

Soalan 6 : Perceraian yang berlaku di Luar Mahkamah

Apakah tindakan yang wajar dilakukan sekiranya telah berlakunya penceraian di luar Mahkamah di antara suami dan isteri ?

Penceraian boleh berlaku di mana-mana sama ada di luar Mahkamah atau di dalam Mahkamah. Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut seberapa segera selepas berlakunya lafaz tersebut.

 

Soalan 7 : Pernikahan tanpa izin

Apakah hukuman atau denda yang akan dikenakan untuk pasangan yang nikah tanpa izin?

Peruntukan seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 menyatakan bahawa seseorang lelaki dan perempuan yang berkahwin di mana-mana tempat tanpa kebenaran bertulis dari Pendaftar (Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam) atau Hakim Syarie adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala, berdasarkan kepada peruntukan seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 pula, seseorang lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

 

Soalan 8 :  Bagaimana status anak bagi mereka yang difaraqkan?

Kes-kes faraq yang menyebabkan perbubaran perkahwinan yang berlaku di Malaysia kebiasaanya adalah disebabkan keraguan wali atau saksi dalam akad pernikahan tersebut. Kebiasaanya disebabkan keraguan wali, perkahwinan atas bukan kebenaran daripada wali, perkahwinan lari, perkahwinan luar negara atau lebih tepat lagi perkahwinan sendiket.

Anak hasil daripada pasangan yang difaraqkan adalah dikategorikan sebagai anak dari persetubuhan syubhah. bahawa persetubuhan syubhah adalah persetubuhan yang dilakukan dengan aggapan bahawa akad nikah yang dilaksanakan tersebut adalah sah, namun secara hakikatnya adalah sebaliknya. Oleh itu, anak yang terhasil daripada akad nikah yang dianggap sah (hakikatnya tidak sah) adalah dianggap sebagai anak yang terhasil dari persetubuhan syubhah.

 

Soalan 9: Adakah anak yang terhasil dari persetubuhan syubhah boleh dinasabkan kepada lelaki yang melakukan persetubuhan syubhah dengan seseorang perempuan yang melahirkan anak tersebut?

Berdasarkan peruntukan seksyen 116, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 yang dirujuk di atas, sekiranya wujud anak yang terhasil dari persetubuhan syubhah, maka lelaki yang melakukan persetubuhan syubhah dengan seseorang perempuan yang melahirkan anak tersebut hendaklah disifatkan sebagai bapa kepada anak itu. Ini bermaksud, anak yang lahir dari persetubuhan syubhah tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut dan lelaki tersebut hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Namun, dengan syarat anak tersebut lahir dalam tempoh enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu. Oleh itu, anak hasil daripada pernikahan yang difaraqkan (akad nikah tidak sah) atas sebab persetubuhan syubhah adalah boleh dinasabkan kepada lelaki yang dipertikaikan dalam kes faraq nikah tersebut.

 

Soalan 10 : Pengesahan perceraian talklik

Apakah maksud cerai taklik?

Menurut seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017, "ta'liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen tersebut.

 

Soalan 11 :  Adakah lafaz taklik lisan (ta’liq tambahan) dikategorikan sebagai perceraian di luar mahkamah?

Walaupun lafaz taklik tersebut terjadi di luar mahkamah, namun masih perlu difailkan di bawah Permohonan Pengesahan Cerai Taklik berdasarkan seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 dan bukannya di atas permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah yang biasa.

 

Soalan 12 :  Apakah hak-hak yang boleh dituntut oleh pasangan yang bercerai secara talak taklik?

Hak-hak yang boleh dituntut oleh pasangan yang bercerai secara lafaz taklik adalah sebagaimana hak-hak biasa dituntut oleh pasangan yang bercerai dengan cara biasa. Antaranya adalah tuntutan mahar/mas kahwin (yang masih belum dijelaskan), nafkah isteri (tertunggak), nafkah ‘iddah, mut’ah, harta sepencarian, hutang dalam perkahwinan (sekiranya ada), hadhanah, nafkah anak dan lain-lain lagi yang berkaitan. Hak-hak tersebut boleh dirujuk dalam seksyen 57, 58, 58, 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

 

 

jksnt

Aras 5, Bangunan Mahkamah Syariah,
Jalan Sultan Mohamad. 21100 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman
Tel : 09-623 2323 | Faks: 09-624 1510
Emel : jkstr@esyariah.gov.my


Penafian : Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan dan kerosakan di atas penggunaan apa jua maklumat dalam laman web ini

Hits Pengunjung

Today 3

Week 121

Month 468

All 24261

FOLLOW US ON FACEBOOK

Pautan Luar

MyGov MOF KSN
Mampu JPA SPA
BPA MSC KKM
© Hakcipta Terpelihara 2024 . Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu