AMANAT AWAL TAHUN 2025
KETUA HAKIM SYARIE TERENGGANU 
9 JANUARI 2025 BERSAMAAN 9 REJAB 1446H


Bismillahirrahmanirrahim
,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘ala Asyrofil Anbiya-i wal Mursalin wa’ala alihi Wasohbihi Ajma’in

Bersyukur ke hadrat Illahi, kerana dengan izin-Nya, kita diberikan kesempatan untuk berada pada saat dan ketika ini, iaitu di tahun baru 2025, dengan semangat dan
tekad yang baru. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan amanat serta harapan kepada seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih cemerlang pada tahun ini.

Warga JKSTR yang dikasihi sekalian,

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu khususnya, merupakan badan yang bertanggungjawab mentafsirkan dan melaksanakan undang-undang serta merupakan badan ketiga selepas badan eksekutif dan badan perundangan. Jabatan ini berfungsi untuk memelihara kebebasan kehakiman dalam mentafsir undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan. Badan kehakiman ini juga berperanan untuk mengendali pertikaian antara pihak-pihak. Oleh yang demikian, kita perlu terus berusaha untuk memartabatkan undang-undang syariah sebagai teras dalam menjalankan amanah ini.

Perundangan syariah adalah satu bentuk perundangan yang adil dan seimbang. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ianya dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan menghormati nilai keadilan sejagat. Kita juga perlu memastikan bahawa kes-kes yang dibicarakan diadili dengan sebaik mungkin supaya hak-hak umat Islam terjaga. Saya juga menyeru kepada semua agar terus mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perundangan syariah agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Warga JKSTR yang dikasihi sekalian,

Kejayaan sesebuah organisasi amat bergantung kepada semangat berorganisasi dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga kerja jabatan. Dalam konteks ini, saya selaku Ketua Jabatan ingin menekankan bahawa betapa pentingnya fungsi setiap individu dalam jabatan ini bagi memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab, komitmen dan keazaman yang tinggi. Kejayaan sesuatu jabatan tidak hanya bergantung kepada satu pihak sahaja, tetapi merupakan hasil kerjasama dan gabungan kerja setiap anggota dan warga kerja jabatan.

Saya berharap agar kita semua dapat bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh, memupuk semangat kesatuan dan saling membantu dalam mencapai Visi, Misi dan Objektif Jabatan. Melalui pengurusan yang baik, komunikasi yang berkesan dan perkongsian ilmu serta pengalaman, kita mampu mengatasi cabaran yang mendatang dengan lebih baik dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Warga JKSTR yang dikasihi sekalian,

Tahun baru ini juga harus dijadikan peluang untuk kita terus berinovasi dalam setiap aspek gerak kerja seharian. Dalam era yang penuh dengan cabaran, kita perlu sentiasa mencari kaedah baru yang lebih efisien, berkesan dan releven dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam sistem kehakiman syariah dan pengurusan pentadbiran. Merujuk kepada Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2024, Pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi Untuk Melonjak Produktiviti dan Daya Saing Negara yang dikeluarkan pada 24 November 2024, menekankan supaya semua agensi awam menyemak semula peraturan untuk mencapai matlamat perkhidmatan awam yang berprestisi tinggi dalam usaha memastikan tatakelola peraturan yang lebih cepat, cekap dan berkesan, sekaligus mengurangkan kos pematuhan peraturan yang ditanggung oleh rakyat.

Apa yang menarik, antara prinsip asas Reformasi Kerenah Birokrasi ini ada menekankan tentang penerapan inovasi melalui penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT- Internet of Things) serta pengujian penyelesaian inovatif melalui uji kaji peraturan. Pembudayaan inovasi di JKSTR bukanlah suatu perkara yang asing memandangkan JKSTR telah memulakan usaha dalam kumpulan-kumpulan inovasi dan kreativiti sejak tahun 2012 lagi. Sehingga kini, jabatan ini sudah berjaya menubuhkan 11 Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) yang telah berjaya menggerakkan inovasi serta mengharumkan nama jabatan di persada antarabangsa menerusi pertandingan International Conference Quality Control Circles (ICQCC). Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua warga kerja yang terlibat sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam menggerakkan inovasi jabatan.

Walau bagaimanapun, Pekeliling Am ini amat penting untuk dilihat terutamanya bagi mengkaji semula projek-projek inovasi kita yang terdahulu. Sistem i-Post, e-Wanted sebagai contoh, boleh dikaji semula untuk diperluas ke jabatan atau agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ), Amanah Raya dan sebagainya. 
Dikesempatan ini juga, saya mengambil peluang untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada kumpulan Quantum of Justice kerana sekali lagi telah berjaya mengharumkan nama jabatan menerusi penganugerahan Gold Award di ICQCC, Colombo, Sri Lanka pada 11 hingga 13 November 2024 menerusi projek E-Qanun. Juga kepada kumpulan Skylaw yang melayakkan diri ke peringkat antarabangsa bagi ICQCC di Taipei, Taiwan pada tahun 2025 ini. Diharap dengan kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada warga kerja yang lain, untuk sama-sama menggerakkan inovasi dan kreativiti.
Harus diingat, inovasi tidak hanya terhad kepada inovasi, tetapi juga dalam cara kita berinteraksi dengan masyarakat, dalam mendidik mereka tentang hak-hak di bawah undang-undang syariah serta dalam mempermudah prosedur perundangan agar lebih cepat dan adil. Oleh itu, saya menyeru agar kita sebuah sentiasa membudayakan untuk berfikir di luar kotak, menggunakan kreativiti untuk meningkatkan keberkesanan sistem kehakiman.

Warga JKSTR yang dikasihi sekalian,

Saya juga ingin menyentuh berkenaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2004, Panduan Pertukaran Pegawai Awam yang menggariskan berkenaan urusan pertukaran pegawai awam supaya dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, berkesan dan seragam. Pertukaran merupakan salah satu fungsi pengurusan sumber manusia yang penting. Pegawai akan dapat memberi perkhidmatan yang cemerlang sekiranya ditempatkan di jawatan yang bersesuaian dengan kompetensinya. Urusan pertukaran yang tidak dilaksanakan dengan baik akan memberikan kesan yang negatif bukan sahaja kepada organisasi tetapi kepada pegawai yang terlibat. Dasar pertukaran menggariskan supaya menukarkan pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 3 tahun tetapi  tidak melebihi 5 tahun di suatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif dan 8 tahun di suatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif. Terbaru, Arahan Pertukaran Pegawai Syariah dan Penolong Pegawai Syariah Negeri Terengganu Bilangan 1 Tahun 2024 telah berkuat kuasa mulai 2 September 2024.

Warga JKSTR yang dikasihi sekalian,

Akhir sekali, saya ingin mengingatkan bahawa kebajikan pegawai dan kakitangan jabatan adalah amat penting. Tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua peringkat, kita tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab kita dengan sempurna. Oleh itu, saya menyeru supaya kita memberikan perhatian yang lebih kepada kesejahteraan mental, fizikal dan emosi setiap individu dalam jabatan ini. Kebajikan pegawai dan kakitangan bukan sahaja tertumpu kepada ganjaran material, tetapi juga kepada penghargaan, sokongan dan suasana kerja yang positif. Semoga dengan suasana yang kondusif, kita akan dapat bekerja dengan lebih bersemangat dan memberi sumbangan yang lebih besar kepada jabatan dan masyarakat.

Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan jabatan atas usaha dan komitmen yang telah diberikan sepanjang tahun 2024. Marilah sama-sama kita menghadapi tahun 2025 dengan semangat baru, penuh tekad dan dedikasi untuk memperkasakan perundangan syariah. Semoga Allah s.w.t sentiasa memberi petunjuk dan keberkatan dalam setiap langkah kita.

Sekian, Wabillai Taufiq wal Hidayah, Wassalamu’alaikum Warohmatullahi Wabarokatuh.

jksnt

Aras 5, Bangunan Mahkamah Syariah,
Jalan Sultan Mohamad. 21100 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman
Tel : 09-623 2323 | Faks: 09-624 1510
Emel : jkstr@esyariah.gov.my


Penafian : Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan dan kerosakan di atas penggunaan apa jua maklumat dalam laman web ini

Hits Pengunjung

Today 3

Week 12

Month 55

All 34656

FOLLOW US ON FACEBOOK

Pautan Luar

MyGov MOF KSN
Mampu JPA SPA
BPA MSC KKM
© Hakcipta Terpelihara 2025 . Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu