User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Soalan 1 : Dimanakah Permohonan Poligami Saya Boleh Didaftarkan? Saya tinggal di Bandar Permaisuri Setiu dan bekerja di Kampung Raja Besut. Isteri saya bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur. Sekiranya saya ingin membuat permohonan berpoligami, dimanakah saya perlu menghantar borang permohonan?

Tuan boleh membuat permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. Permohonan Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa adalah diperlukan kerana isteri tuan beralamat penyampaian di Kuala Lumpur. Borang permohonan kebenaran berpoligami dan Permohonan Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa boleh didapati di Kaunter Setempat, Aras 1, Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu mahupun di dalam laman web Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

 

Soalan 2 : Apakah dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan sekiranya saya ingin mendaftarkan Permohonan Kebenaran Berpoligami?

Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan Permohonan Kebenaran Berpoligami adalah :

  1. Dua (2) salinan borang (Notis Permohonan & Afidavit)
  2. Dua (2) salinan borang penyampaian saman di luar bidangkuasa (bagi Responden yang berada di luar Terengganu/Malaysia)
  3. Borang MS 27 (Pengenalpastian Ekshibit) mengikut bilangan ekshibit yang ditandakan.
  4. Salinan KP Pemohon (1 salinan)
  5. Salinan surat Permastautinan Pemohon (bagi Pemohon yang alamat KP diluar daerah di negeri Terengganu atau di luar daripada negeri Terengganu) (1 salinan)
  6. Salinan Slip Gaji/Penyata Pendapatan/Penyata Bank/Perakuan Pendapatan dari JKKK (terbaru) (mana yg berkaitan) (1 salinan)
  7. Salinan Surat Nikah (isteri sedia ada) (1 salinan)
  8. Salinan Surat Cerai Bakal Isteri (1 salinan) – jika janda dan Salinan Surat Mati Suami Terdahulu (1 salinan) – jika bercerai mati.

 

Soalan 3 : Hak Penjagaan Anak

Selepas bercerai suami saya sentiasa mengugut saya bahawa saya tidak akan mendapat hak penjagaan anak kerana saya tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap dan hanya menjual kuih-muih secara sambilan untuk menyara kehidupan. Adakah pekerjaan seseorang isteri ataupun seseorang isteri yang tidak bekerja itu tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak berbanding suami yang bekerja ?


Untuk makluman puan, walaupun isteri tidak mempunyai pekerjaan, Mahkamah Syariah boleh memberikan hak penjagaan anak kepada isteri jika Mahkamah mendapati anak-anak tersebut lebih terjamin kebajikannya apabila mereka berada di bawah penjagaan ibu. Ini kerana pertimbangan Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada kebajikan anak atau pun apa-apa yang difikirkan terbaik untuk anak-anak tersebut (the best interest of the child).

 

Soalan 4 :  Berapa lamakah tempoh hadhanah?

Bagi kanak-kanak kecil, hadhanahnya berakhir sehingga mencapai umur mumaiyyiz. Hak hadhinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat apabila:
 
✓kanak-kanak lelaki mencapai umur 7 tahun
✓kanak-kanak perempuan mencapai umur 9 tahun.
 
Tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadhinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 9 tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur 11 tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.
 

Soalan 5 : Selepas tamat tempoh hadhanah oleh ibu kandung, adakah bapa kandung secara automatik mendapat hak jagaan?

Setelah tamatnya hak hadhinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Setelah mumayiz, anak boleh pilih sama ada tinggal bersama ibu atau bapa. Apabila kanak-kanak lelaki mencapai umur 7 tahun (atau dilanjutkan ke 9 tahun) dan kanak-kanak perempuan mencapai umur 9 tahun (atau dilanjutkan ke 11 tahun) sehinggalah anakanak ini berusia 18 tahun, anak-anak ini boleh memilih sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa.

 

Soalan 6 : Setelah berlaku perceraian, pihak-pihak telah bersetuju di luar Mahkamah untuk selesaikan perkara hak jagaan ini secara baik. Masalah timbul adalah apabila pihak sekolah anak memohon Perintah Mahkamah (Hadhanah). Setelah berlaku perceraian, timbul keperluan undang-undang dan syarak siapakah yang akan menguruskan dan menjaga anak-anak ini?

Mahkamah Syariah merupakan pihak berautoriti dalam memutuskan hadhanah/hak jagaan. Pertimbangan utama yang diberikan oleh Mahkamah Syariah ialah:

 1. Kebajikan kanak-kanak itu,

2. Kemahuan ibu bapa kanak-kanak; dan

3. Kemahuan kanak-kanak itu sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.

Apabila pihak-pihak telah bercerai, agensi-agensi kerajaan akan memerlukan dokumen Penghakiman Mahkamah Syariah untuk sebarang urusan dengan agensi tersebut seperti Kementerian Pendidikan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Imigresen Malaysia dan lain-lain. 

Dalam kes yang ada persetujuan pihak-pihak ini, salah satu pihak failkan tuntutan Hak Jagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah terdekat dengan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah ada persetujuan berkenaan hak jagaan dan hak lawatan.

Di dalam kes persetujuan bersama, akan diselesaikan dan diendorskan dalam masa satu hari sahaja selepas mendapat tarikh di hadapan Hakim.

 

Soalan 7 :  Bekas isteri telah failkan tuntutan Hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. Apakah asas hukum syarak dan undang-undang Keluarga Islam dalam pengurusan Hadhanah ini sebelum bekas suami memfailkan Penyata Pembelaan?

 Asas hukum syarak dan undang-undang Keluarga Islam dalam pengurusan Hadhanah ini adalah: 

a. Jika hadhanah/hak jagaan anak diletakkan kepada ibu; bapa diberikan hak akses, bersama, melawat dan bermalam.

b. Jika hadhanah/hak jagaan anak diletakkan kepada bapa; ibu diberikan hak akses, bersama, melawat dan bermalam.

Sifirnya mudah, bila satu pihak dapat hak jagaan, pihak satu lagi akan mendapat hak akses, bersama, melawat dan bermalam.

 

Soalan 8 : Sekiranya bekas isteri/ibu kandung berkahwin lain, adakah bekas suami/bapa kandung secara automatik mendapat hak hadhanah?

Bapa adalah tidak secara automatik mendapat hak hadhanah anak-anak tersebut. Hal ini kerana, berdasarkan kepada subseksyen 86 (a) ada dijelaskan bahawa sekiranya penjagaannya (setelah berkahwin dengan lelaki lain) akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu, ianya akan terbatal. Namun, sekiranya tidak, ibu kepada anak-anak tersebut masih berhak kepada hadhanah.

Selain itu, bapa juga tidak secara automatik mendapat hak hadhanah kerana mengikut susunan keutamaan dalam subseksyen 84 (2), sekiranya ibu kepada anak-anak tersebut terbukti terlucut hak hadhanahnya, maka nenek (sebelah ibu) adalah terlebih dahulu berhak. Setelah nenek (sebelah ibu) barulah bapa kepada anak-anak tersebut berhak mendapat hak hadhanah.

 

Soalan 9 :  Sekiranya hak hadhanah diberikan kepada bapa, ibu akan mendapat hak lawatan dan lain-lain akses atau tidak?

Sekiranya hak hadhanah diputuskan oleh Mahkamah untuk diserahkan kepada bapa, ibu kepada kanak-kanak tersebut adalah diberikan hak lawatan, hak bermalam, hak berhari raya dan lain-lain akses.

 

Soalan 10 : Semasa dalam tempoh kes pengurusan hak hadhanah, hak menjaga anak diberikan kepada siapa? 

Sekiranya tiada pertikaian tentang hadhanah anak-anak ketika tempoh perbicaraan tuntutan hadhanah, anak-anak tersebut akan kekal berada bersama pihak yang menjaga anak-anak tersebut selepas perceraian. Namun, sekiranya terdapat keterdesakan yang melampau berkaitan kebajikan dan keselamatan anak-anak sepanjang prosiding hadhanah berlangsung, maka pihak yang ingin mendapatkan hak jagaan sementara boleh memfailkan perintah interim.

Pihak-pihak boleh membuat satu permohonan kepada Mahkamah untuk mendapatkan suatu perintah hadhanah sementara/ interim  sepanjang tempoh perbicaraan kes Tuntutan Hadhanah.

 

Soalan 11 : Siapakah yang berhak bagi hadhanah anak tidak sah taraf?

Hak hadhanah atau hak jagaan bagi anak yang tak sah taraf adalah pada ibu atau saudara-mara ibu.

 

Soalan 12 :  Apakah syarat untuk membuat Tuntutan Ubah Perintah Hadhanah?

Syaratnya adalah apabila berlakunya perubahan matan. Sebagai contoh:

  • Anak telah mencapai umur 14 tahun dan ingin duduk dengan bapa.
  • Semasa anak menyusu badan, Mahkamah telah bagi hak lawatan sahaja. Setelah anak berusia 5 tahun, bapa berhasrat untuk hak bermalam.
  • Perintah asal bapa mendapat hak bermalam 1 bulan sekali. Setelah anak masuk sekolah menengah, anak mahu hak bermalam 2 kali sebulan.
  • Dalam perintah asal, tiada giliran berhari raya. Timbul masalah sebab perbincangan di luar Mahkamah tidak berjaya.
  • Anak telah mencapai umur mumaiyiz, bapa berhasrat untuk hak jagaan
  • Dan lain-lain lagi.

 

 

Aras 5, Bangunan Mahkamah Syariah,
Jalan Sultan Mohamad. 21100 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman
Tel : 09-623 2323 | Faks: 09-624 1510
Emel : jkstr@esyariah.gov.my


Penafian : Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan dan kerosakan di atas penggunaan apa jua maklumat dalam laman web ini.

Hits Pengunjung

Today 34

Week 409

Month 935

All 13700

FOLLOW US ON FACEBOOK

Pautan Luar

© Hakcipta Terpelihara 2024 . Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu