User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Pendahuluan (Penubuhan, Pengiktirafan, dan Struktur)

Bermulanya Pelaksanaan Hukum Syarak Dan Undang-Undang Islam Di Terengganu

 

Batu Bersurat Terengganu menurut yang tercatat dengan jelasnya merakamkan "Tuan mendudukan tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada Jumaat di bulan Rajab di tahun Saratan di sasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua."

Ungkapan tersebut, menurut perkiraan falak, takwim Julian, bermaksud Batu Bersurat itu telah dibuat pada hari Jumaat 6 Rajab 702 Hijrah kerana  pada tarikh tersebut bulan didapati sedang bergerak di dalam Buruj Saratan.

Pendapat ini adalah antara rumusan kertas kerja yang dibuat oleh Tuan Haji Muhammad Khair bin Haji Taib, seorang ahli falak yang terkenal di negara ini dan diulas oleh Yang Berhormat Dato' Perba di Raja, seorang ahli falak Terengganu yang terkenal, di dalam seminar "Kedatangan Islam ke Terengganu",  anjuran Yayasan Islam Terengganu pada 13-14 Rajab 1401H bersamaan 17-18 Mei 1981M. Mengikut takwim Hijri Istilahi (0001H-1500H) yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sempena Maal Hijrah 1413, 6 Rejab 702H adalah bersamaan dengan 24 Februari 1303M. Tarikh tersebut bukanlah tarikh masuknya Islam ke Terengganu, tetapi ia adalah tarikh Pengisytiharan Titah di Raja berjalan kuatkuasanya Hukum Syarak dan undang-undang Islam di Terengganu.

 

Semasa Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin III (1881-1918), pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu terserlah. Undang-undang Islam dijadikan sebagai undang-undang negeri dimana Baginda telah menyusun pentadbiran Mahkamah, menggubal Undang-undang Mahkamah dan Perlembagaan Negeri.


Undang-undang Mahkamah telah digubal dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri semasa negeri Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang ini digubal mengikut al-Qawa 'ed al-Syar'iah atau al-Qawa'ed al-Fiqhiyyah,mengandungi tiga belas (13) bab, meliputi tugas-tugas pegawai-pegawai dan kakitangan Mahkamah, hukuman dan perbelanjaan Mahkamah.

Pada keseluruhannya Undang-undang Mahkamah ini mengikut sistem kehakiman Islam. Bolehlah dikatakan pada masa itu bahawa undang-undang ini ternyata begitu kemas dan tersusun rapi dan ianya menyelaras pentadbiran dan perjalanan Mahkamah di seluruh Terengganu di atas dasar dan prinsip kehakiman Islam.


Dalam masa pemerintahan, Baginda juga telah membuat Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dinamakan iaitu Itqaanul Muluk bit Ta'dilis Suluk pada 1329H bersamaan 1911M.

Fasal yang kelima puluh satu (51) undang-undang berkenaan memperuntukkan mengenai agama negeri dan agama lain dengan menyebut: 

“Sesungguhnya telah disifatkan dan disebut dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini Kerajaan Islamiah Melayuwiah ialah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan maka  tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadikan atau disebut agama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.”

Walau bagaimana pun setakat yang diketengahkan sebagaimana di atas, tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu di zaman sebelum kedatangan penjajah British tidaklah sepenuhnya sebagaimana yang berlaku di Zaman Rasulullah SAW dan di Zaman Khulafa al-Rashidin. Namun demikian ianya telah cukup untuk dijadikan bukti bahawa undang-undang Islam pernah dilaksanakan di negeri ini dalam semua bidang undang-undang dan ia juga menjadi undang-undang dasar di Terengganu.

 

PENUBUHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH TERENGGANU (JKSTR)

Dari segi sejarahnya satu Jawatankuasa yang  telah dipengerusikan oleh Allahyarham Yang Amat Berbahagia Tun Syed Nasir bin Ismail telah ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Malaysia pada 04 September, 1972. Bidangkuasa Jawatankuasa ini ialah untuk mengkaji kedudukan Mahkamah-Mahkamah Qadi/Syariah di negeri-negeri dengan tujuan untuk membuat perakuan-perakuan bagi memperbaiki cara pentadbiran serta meninggikan taraf Mahkamah Syariah dan Kadi-Kadi dari segi tugas dan tanggungjawab. Jawatankuasa ini telah pun siap membuat laporannya pada tahun 1981.

Laporan itu dinamakan Laporan Jawatankuasa Mengkaji Kedudukan Mahkamah-Mahkamah Syariah dan Taraf Kadi-Kadi Seluruh Malaysia , 1981. Laporan itu mengandungi beberapa perakuan berhubung dengan perkara berkaitan dengan Mahkamah Syariah seperti kedudukan Mahkamah, Pegawai-Pegawainya, Bangunan Mahkamah, perjalanan dan tugas-tugas yang dijalankan oleh Mahkamah dan juga berhubung dengan undang-undang yang ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah.


Dari laporan ini ditubuh pula sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Peringkat Pegawai (JPP) untuk mengkaji semula Laporan Jawatankuasa Mengkaji Kedudukan Mahkamah-Mahkamah Syariah dan Taraf Kadi-Kadi Seluruh Malaysia, 1981, dalam tahun 1982. Dalam tahun 1983 JPP telah menyediakan satu laporan yang dinamakan Laporan Jawatankuasa Peringkat Pegawai Mengenai Laporan Jawatankuasa Mengkaji Kedudukan Mahkamah-Mahkamah Syariah dan Taraf Kadi-Kadi Seluruh Malaysia, 1981. Setelah itu Jawatankuasa Pemandu (JP) ditubuhkan.

Jawatankuasa Pemandu telah membuat beberapa perakuan. Antara perakuan-perakuan tersebut adalah seperti berikut:

Pegawai-Pegawai Syariah hendaklah dibenarkan untuk menjalankan perkhidmatan mereka di Mahkamah-Mahkamah Syariah dan untuk tujuan itu Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri perlulah dipinda untuk melindungi kepentingan dan disiplin mereka.

Perakuan-perakuan Jawatankuasa Pemandu tersebut kemudiannya dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali Ke-15 pada 04 Oktober, 1986 dan dipersetujui, antaranya membuahkan natijah-natijah berikut:

(1) Lulusnya Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah (A19.00, A11.00, A10.00 kemudian dikategorikan dalam gred L3, L2, L1 ). Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah ini berkuatkuasa mulai 01 Februari, 1985. Skim Perkhidmatan ini merupakan satu skim perkhidmatan baru bagi memenuhi keperluan perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Islam ke arah mempertingkatkan kedudukan dan sistem pentadbiran Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh negara. Pegawai-Pegawai yang dilantik ke dalam perkhidmatan Pegawai Syariah yang baru ini bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas perbicaraan dan pentadbiran yang berkaitan dengan hal ehwal hukum syarak yang mana mereka berperanan sebagai Hakim-Hakim Mahkamah Syariah, Pegawai Pendakwa dan Pendaftar-Pendaftar Mahkamah.

(2) Mulai tahun 1988, Mahkamah Syariah mula diasingkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri-Negeri termasuklah di negeri Terengganu. Mulai tahun 1989 juga penjawat jawatan Pegawai Syariah mulai mengisi jawatan-jawatan di Mahkamah-Mahkamah Syariah dan kemudiannya di Iain-Iain Institusi. Di Terengganu Mahkamah diisi dengan Pegawai Syariah mulai pada 01 November, 1989 .

(3) Susunlapis Mahkamah Syariah mulai diperbaiki, iaitu dari dua tingkat kepada tiga tingkat, seperti berikut:

 

PINDAAN UNDANG-UNDANG YANG BERKAITAN

(1) Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan mengenai bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah, terkenal dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1984. Pindaan ini telah memberi kuasa yang lebih kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat iaitu hukuman penjara sehingga tiga tahun atau apa-apa denda sehingga RM 5000 atau sebat enam rotan atau gabungan kedua-dua hukuman tersebut. Akta ini adalah pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang hanya memperuntukkan hukuman apa-apa kesalahan boleh dihukum dengan penjara untuk satu tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM 1000 atau kedua-duanya.

(2) Dalam tahun 1988, Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan terhadap perlembagaan mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah terkenal dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 (Akta A 704) Perkara 121, Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak lagi mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan:

"Mahkamah-Mahkamah yang disebut di dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah".


Dengan pindaan ini, kewujudan dan kewibawaan Mahkamah Syariah telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang mutlak untuk memutus dan menyelesaikan kes-kes atau apa-apa perkara yang terletak di bawah bidangkuasanya. Ini bermakna Mahkamah Sivil tidak boleh membicarakan sesuatu kes yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, sedangkan sebelum ini Mahkamah Sivil juga mempunyai bidangkuasa yang sama, di dalam beberapa kes dan Mahkamah Sivil boleh membicarakannya dan jika terdapat percanggahan maka keputusan Mahkamah Sivil adalah muktamad. Kesan pindaan ini telah diperkukuh lagi oleh keputusan Mahkamah Agung di dalam kes  Mohd. Habibullah bin Mahmood  lawan  Faridah bt. Dato’ Talib pada 15 Disember, 1992 yang menegaskan "exclusive jurisdication" Mahkamah Syariah.

(3) Kerajaan Persekutuan  juga telah membuat pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia untuk memberikan kuasa tahan kepada Hakim Mahkamah Syariah seperti yang diberikan kepada seorang Majistret terkenal dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988, Perkara 5(4) Persekutuan. Dengan pindaan ini bererti Hakim Mahkamah Syariah  telah diberi kuasa seperti seorang Majistret di dalam perkara kuasa tahan diri.

(4) Untuk merealisasikan kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana dalam peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan itu, Kanun Tanah Negara (National Land Code) telah dipinda dengan memasukkan satu seksyen baru iaitu seksyen 421A melalui Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 1991. Pindaan tersebut telah diluluskan dan berkuatkuasa mulai 01 Januari, 1993.Seksyen 421A berbunyi ;

"Bagi maksud seksyen-seksyen 417 dan 420 "Mahkamah" termasuklah Mahkamah Syariah."

Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (JPM), untuk mempertingkatkan pelaksanaan Undang-undang Islam, memperluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan menyelaras undang-undang sivil agar sesuai dengan Hukum Syarak.

STRUKTUR JKSTR

Mahkamah Syariah Negeri Terengganu yang mempunyai organisasi tersendiri dan berpisah dari Organisasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu ditubuhkan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 15 yang bersidang pada 04 Oktober, 1986. Hasil mesyuarat tersebut telahpun dibawa kepengetahuan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan dipersetujui dilaksanakan di Negeri Terengganu. Nama Mahkamah juga telah ditukar dari nama Mahkamah Qadi kepada Mahkamah Syariah. Gelaran jawatan pegawai yang mengetuai satu-satu Mahkamah Syariah juga ditukar dari nama Qadi/Qadi Besar kepada Hakim/ Hakim Mahkmah Tinggi Syariah/Ketua Hakim Syarie.

Dalam hubungan ini Pelaksanaan Penyusunan Struktur Organisasi dan Perjawatan bagi Mahkamah Syariah Negeri Terengganu adalah berpandukan kepada keputusan dalam kertas mesyuarat berkenaan. Melalui kelulusan Perjawatan Bil.1/1988 tertubuhlah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu secara berasingan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu berkuatkuasa mulai 01 Januari, 1988.

Di bawah Penyusunan Semula Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri, fungsi Mahkamah Syariah telah dipisahkan daripada Jabatan Agama Islam Negeri.

Mahkamah Syariah adalah sebagai satu badan yang bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, ianya dibekalkan dengan kuasa-kuasa tertentu melalui pindaan undang-undang yang sedia ada supaya Mahkamah-Mahkamah ini dapat menyelia dan melaksanakan perkhidmatan pengadilan mengikut Hukum Syarak secara adil, cekap dan berkesan.

Struktur Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR)

Berdasarkan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, Mahkamah Syariah Terengganu terdiri daripada tiga peringkat iaitu :

 

Mahkamah Rayuan Syariah dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie. Mahkamah Tinggi Syariah pula diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Manakala tiap-tiap Mahkamah Rendah Syariah Daerah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Struktur atau peringkat Mahkamah ini adalah berbeza dengan struktur Mahkamah Syariah di awal penubuhannya dahulu, di mana ianya terdiri daripada :

Fungsi Utama

Fungsi utama Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu adalah menerima dan menyelesaikan kes-kes yang dibawa ke mahkamah syariah dengan adil dan saksama mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Mahkamah Rayuan Syariah

Mahkamah Rayuan  Syariah Terengganu menjalankan fungsinya iaitu mengurus, mendengar, meneliti, menghalusi dan memutuskan kes-kes rayuan yang dibawa dari Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut peruntukan Hukum Syarak dan Undang -undang. Menjalankan semakan keatas rekod perbicaraan kes-kes jenayah Mahkamah Tinggi Syariah baik dalam bidangkuasa asalnya maupun dalam bidangkuasa rayuannya. 
Selain itu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu juga melakukan semakan rekod mana-mana prosiding dalam perkara jenayah di Mahkamah Tinggi Syariah bagi maksud menyakinkan semua pihak  bahawa keputusan prosiding itu adalah betul dan sah, dan memastikan  prosiding itu dijalankan mengikut peraturan Mahkamah serta mewujudkan sistem Kehakiman Syariah secara teratur, profesional dan berkesan. 

Mahkamah Tinggi Syariah 

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu melaksanakan fungsinya iaitu:

  1. Menguruskan pentadbiran perkhidmatan dan pembangunan Mahkamah Rayuan Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah keseluruhannya.
  2. Menerima kes yang dibawa ke mahkamah ini sama ada kes-kes mal maupun jenayah dan faraid, dan menguruskannya.
  3. Mendengar dan menyelesaikan kes-kes mula bicara yang dibawa ke mahkamah ini dengan adil dan saksama mengikut peruntukan yang diberi dalam Hukum Syarak dan undang-undang.
  4. Menjalankan semakan ke atas rekod perbicaraan kes-kes jenayah Mahkamah Rendah Syariah Daerah-Daerah.
  5. Mendengar, meneliti, menghalusi dan memutuskan kes-kes rayuan daripada Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah.

Mahkamah Rendah Syariah

Pada hari ini terdapat 7  Mahkamah Rendah Syariah di Terengganu, iaitu mengikut daerah-daerah yang ada. Tiap-tiap Mahkamah berkenaan mempunyai fungsi yang sama  mengikut daerah masing-masing dan adalah seperti berikut:

  1. Menerima dan mendengar kes yang dibawa ke mahkamah ini sama ada kes-kes mal, jenayah dan faraid dan menguruskannya.
  2. Mendengar dan menyelesaikan kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini dengan adil dan saksama mengikut peruntukan yang diberikan dalam Hukum Syarak dan Undang-undang.
  3. Pengendalian Mahkamah Rendah Syariah di daerah-daerah.
  4. Menerima tuntutan / permohonan / dakwaan daripada mana-mana orang.
  5. Mendaftar dan mengkategorikan kes.
  6. Membicarakan kes.
  7. Membuat keputusan hukuman dan perintah.
  8. Melaksanakan hukuman dan mana-mana perintah yang berkaitan.

  
Punca Kuasa Mahkamah Syariah Terengganu     

Perlembagaan Persekutuan antara lain telah memperihalkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Perlembagaan Persekutuan juga telah memperuntukkan status Mahkamah Syariah; iaitu Mahkamah yang diletakkan di bawah bidangkuasa negeri. Fasal 2 kepada Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:-

Dengan tidak menyentuh apa-apa kuasa yang diberi kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebut dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.

Jadual Kesembilan, Senarai (2) Perlembagaan Persekutuan Butiran (1), memperuntukkan :-

  • 1. Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang-orang yang menganut agama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu: Zakat Fitrah dan Bait-ul-mal atau hasil agama negeri yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah syar’iah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam; menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu.

Berdasarkan Seksyen 17 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu)  2001 bidang kuasa Mahkamah Rayuan  Syariah  ialah :

(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa  asalnya.

(2) Apabila suatu rayuan daripada sesuatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk diputuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

(3) Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan yang difikirkannya adil bagi pemberesan rayuan itu.

Manakala bidangkuasa  Mahkamah Tinggi Syariah telah diperuntukkan di dalam subseksyen 11(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 iaitu ;

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah –

  • (a) dalam bidangkuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan
  • (b) dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan –
    • (i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;
  •  
    • (ii)  apa-apa  pelupusan  atau  tuntutan harta  yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
      (iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;
      (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
      (v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut
      (vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang orang Islam ;
      (vii) wakaf atau nazar;
      (viii) pembahagian atau pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat ;
      (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
    • (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
      (xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya ; dan
    • (xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Subseksyen 12 (2) Enakmen Mahkamah Syariah ( Terengganu ) 2001 pula memperuntukkan;
Mahkamah Rendah Syariah hendaklah –

(a) dalam bidangkuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimun yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

 

 

Aras 5, Bangunan Mahkamah Syariah,
Jalan Sultan Mohamad. 21100 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman
Tel : 09-623 2323 | Faks: 09-624 1510
Emel : jkstr@esyariah.gov.my


Penafian : Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan dan kerosakan di atas penggunaan apa jua maklumat dalam laman web ini.

Hits Pengunjung

Today 37

Week 412

Month 938

All 13703

FOLLOW US ON FACEBOOK

Pautan Luar

© Hakcipta Terpelihara 2024 . Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu