5 Mei 2024 - Seramai 6 orang daripada Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menerima Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Sempena Hari Keputeraan ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini. KDYMM Sultan Mizan berkenan mengurniakan pingat tersebut dalam Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini. Pada istiadat itu, seramai dua penerima dikurniakan Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C.), manakala 133 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.), tiga penerima Bintang Lama Berjawatan (B.L.B.) dan 11 lagi penerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B.). Antara penerima pingat daripada Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu adalah Puan Noor Afzan Binti Adam, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Terengganu, Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan (A.M.Z), Tuan Haji Zamzam Bin Ismail, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Terengganu dan Tuan Haji Mat Ropi Bin Busu, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Setiu, Bintang Darjah Kebesaran Negeri, Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T). Manakala 3 orang lagi penerima bagi Pingat Kebesaran Negeri (P.J.K) adalah Puan Nurul Najwa Binti Mohamad, Pegawai Penyelidik, Tuan Ahnaf Bin Ahmad, Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Tuan Ahmad Amir Mustaqim Bin Ahmad Kusaini, Pegawai Sulh. Sila klik di sini untuk ke galeri gambar.