Soalan 1 : Jika tidak mampu mengambil Peguam, apakah ada Bantuan Guaman yang disediakan oleh pihak Kerajaan?
Jawapan:Ya, ada. Kerajaan telah menubuhkan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) bagi membantu rakyat yang tidak mampu membayar khidmat guaman semasa menghadapi kes di Mahkamah Syariah. Pegawai dari JBG akan bertindak sebagai Peguam kepada orang yang melantiknya di dalam mana-mana pertikaian di Mahkamah Syariah.
Soalan 2 : Dimanakah Permohonan Poligami Saya Boleh Didaftarkan? Saya tinggal di Bandar Permaisuri Setiu dan bekerja di Kampung Raja Besut. Isteri saya bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur. Sekiranya saya ingin membuat permohonan berpoligami, dimanakah saya perlu menghantar borang permohonan?
Jawapan: Tuan boleh membuat permohonan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. Permohonan Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa adalah diperlukan kerana isteri tuan beralamat penyampaian di Kuala Lumpur. Borang permohonan kebenaran berpoligami dan Permohonan Penyampaian Saman Diluar Bidang Kuasa boleh didapati di Kaunter Setempat, Aras 1, Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu mahupun di dalam laman web Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
Soalan 3 : Apakah dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan sekiranya saya ingin mendaftarkan Permohonan Kebenaran Berpoligami?
Jawapan: Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan Permohonan Kebenaran Berpoligami adalah :
- Dua (2) salinan borang (Notis Permohonan & Afidavit)
- Dua (2) salinan borang penyampaian saman di luar bidangkuasa (bagi Responden yang berada di luar Terengganu/Malaysia)
- Borang MS 27 (Pengenalpastian Ekshibit) mengikut bilangan ekshibit yang ditandakan.
- Salinan KP Pemohon (1 salinan)
- Salinan surat Permastautinan Pemohon (bagi Pemohon yang alamat KP diluar daerah di negeri Terengganu atau di luar daripada negeri Terengganu) (1 salinan)
- Salinan Slip Gaji/Penyata Pendapatan/Penyata Bank/Perakuan Pendapatan dari JKKK (terbaru) (mana yg berkaitan) (1 salinan)Salinan Surat Nikah (isteri sedia ada) (1 salinan)Salinan Surat Cerai Bakal Isteri (1 salinan) – jika janda dan Salinan Surat Mati Suami Terdahulu (1 salinan) – jika bercerai mati Soalan 4 : Tuntutan selepas perceraian
Saya telah bercerai talak satu raj’ie dengan kebenaran Mahkamah di Mahkamah Syariah Derah Marang pada bulan 10 Mei 2107 yang lalu. Adakah saya mempunyai hak dan apakah tuntutan atau hak-hakyang boleh saya tuntut sebagai isteri setelah berlakunya perceraian antara saya dan bekas suami ?
Jawapan:Selepas berlakunya perceraian, Puan mempunyai beberapa hak yang boleh dituntut dan difailkan di Mahkamah Syariah. Antara tuntutan-tuntutan yang boleh difailkan adalah :
-Hutang Maskahwin
-Nafkah ‘Iddah
-Tunggakan Nafkah Isteri
-Mutaah
-Harta Sepencarian
-Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
-Nafkah Anak
Soalan 5 : Perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara
Saya dan suami telah melangsungkan perkahwinan di wilayah Pattani Thailand tanpa pengetahuan keluarga. Adakah saya perlu mendaftar perkahwinan tersebut di Malaysia?
Jawapan: Setiap perkahwinan yang sah menurut Hukum Syara’ hendaklah didaftarkan. Bagi kes puan, puan hendaklah terlebih dahulu membuat Permohonan Pengesahan Pernikahan di Mahkamah bagi menentukan sama ada pernikahan yang dilangsungkan itu adalah sah atau sebaliknya.
Soalan 6 : Lafaz Cerai Suami Yang Tidak Jelas
Saya dan suami telah bergaduh, dalam pergaduhan itu suami telah mengatakan yang hubungan kami sudah tiada apa-apa lagi. Dia sudah tidak mempunyai perasaan lagi terhadap saya dan meminta agar kami membawa haluan masing-masing. Suami saya juga ada melafazkan, “Aku lepaskan kamu mulai hari ini”. Apakah status hubungan kami?
Jawapan: Untuk makluman puan, puan bolehlah datang ke Mahkamah Rendah Syariah daerah tempat tinggal puan dan mendapatkan contoh Afidavit untuk membuat pengesahan lafaz cerai bagi memastikan maksud/niat sebenar lafaz suami puan itu. Ianya perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah akan memutuskan sama ada lafaz itu menyebabkan jatuhnya talaq atau tidak.
Soalan 7 : Penentuan Status Isteri Nusyuz
Saya dan suami seringkali bergaduh, dalam pergaduhan beberapa minggu lepas, suami telah bertindak memukul saya dengan menggunakan senjata tajam. Suami juga mendera mental dan fizikal saya. Beberapa hari selepas itu, saya telah bertindak melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan oleh suami saya. Suami telah mencanangkan kepada keluarga dan kawan-kawan saya bahawa saya sebagi isteri yang nusyuz? Adakah saya telah disabitkan sebagai seorang isteri yang nusyuz?
Jawapan: Untuk makluman puan, sabitan sama ada seorang isteri tersebut nusyuz atau pun tidak sebenarnya tidak sesewenang-wenangnya boleh ditentukan oleh seseorang suami. Dakwaan bahawa seseorang isteri itu telah nusyuz adalah dengan si suami mengemukakan terlebih dahulu tuntutan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah. Setelah itu, di dalam prosiding perbicaraan, suami hendaklah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh terhadap dakwaan yang dibuatnya terhadap isteri. Hakim Syarie adalah orang yang kompeten untuk memutuskan sama ada telah berlaku perbuatan nusyuz tersebut atau sebaliknya seterusnya mensabitkan seseorang isteri itu telah nusyuz. Hak seseorang isteri tidak sesekali gugur sehinggalah sabitan nusyuz diputuskan di Mahkamah Syariah.
Soalan 8 : Bolehkah seseorang isteri itu tinggal berasingan dengan suaminya semasa prosiding tuntutan fasakh sedang berjalan?. Ini kerana tuntutan fasakh dibuat atas alasan suami seorang yang mengalami masalah mental yang kritikal dan seringkali berada di luar kawalan sehingga memukul isteri, mencederakan bahkan membahayakan nyawa isterinya?
Jawapan: Boleh. Jika isteri bimbang bahawa suaminya akan bertindak balas dengan memukul dan membahayakan nyawanya setelah dia memfailkan tuntutan fasakh tersebut, atau mengenakan tekanan mental dan emosi yang bersangatan terhadapnya, maka semasa memfailkan tuntutan fasakh tersebut, isteri bolehlah memfailkan permohonan injunksi / tegahan kacau ganggu secara ex-parte.
Soalan 9 : Tunggakan Nafkah isteri
Suami saya seorang yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak memberi nafkah zahir kepada saya sepanjang perkahwinan kami. Hal ini berterusan sehinggalah 3 tahun berturut-turut. Adakah saya berhak membuat tuntutan tunggakan nafkah terhadap suami saya yang cuai dalam menyediakan nafkah isteri kepada saya sungguhpun kami tidak bercerai ?
Jawapan: Untuk makluman puan, puan bolehmemfailkan tuntutan tunggakan nafkah isteri. Tuntutan nafkah isteri bukan hanya boleh dituntut selepas berlakunya perceraian, namun ianya juga boleh difailkan semasa dalam perkahwinan. Jika suami tidak pernah memberi nafkah semasa tempoh perkahwinan, isteri boleh mengajukan tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan tunggakan nafkah tersebut.
Soalan 10 : Hak Penjagaan Anak
Selepas bercerai suami saya sentiasa mengugut saya bahawa saya tidak akan mendapat hak penjagaan anak kerana saya tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap dan hanya menjual kuih-muih secara sambilan untuk menyara kehidupan. Adakah pekerjaan seseorang isteri ataupun seseorang isteri yang tidak bekerja itu tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak berbanding suami yang bekerja ?
Jawapan: Untuk makluman puan, walaupun isteri tidak mempunyai pekerjaan, Mahkamah Syariah boleh memberikan hak penjagaan anak kepada isteri jika Mahkamah mendapati anak-anak tersebut lebih terjamin kebajikannya apabila mereka berada di bawah penjagaan ibu. Ini kerana pertimbangan Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada kebajikan anak atau pun apa-apa yang difikirkan terbaik untuk anak-anak tersebut (the best interest of the child).
Soalan 11 : Perceraian yang berlaku di Luar Mahkamah
Apakah tindakan yang wajar dilakukan sekiranya telah berlakunya penceraian di luar Mahkamah di antara suami dan isteri ?
Jawapan: Penceraian boleh berlaku di mana-mana sama ada di luar Mahkamah atau di dalam Mahkamah. Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut seberapa segera selepas berlakunya lafaz tersebut.
Solan 12 : Hadhanah
1. Berapa lamakah tempoh hadhanah?
Jawapan: Bagi kanak-kanak kecil, hadhanahnya berakhir sehingga mencapai umur mumaiyyiz. Hak hadhinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat apabila:
✓kanak-kanak lelaki mencapai umur 7 tahun
✓kanak-kanak perempuan mencapai umur 9 tahun.
Tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadhinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 9 tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur 11 tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.
2. Selepas tamat tempoh hadhanah oleh ibu kandung, adakah bapa kandung secara automatik mendapat hak jagaan?
Setelah tamatnya hak hadhinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.
Setelah mumayiz, anak boleh pilih sama ada tinggal bersama ibu atau bapa. Apabila kanak-kanak lelaki mencapai umur 7 tahun (atau dilanjutkan ke 9 tahun) dan kanak-kanak perempuan mencapai umur 9 tahun (atau dilanjutkan ke 11 tahun) sehinggalah anakanak ini berusia 18 tahun, anak-anak ini boleh memilih sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa.
3. Setelah berlaku perceraian, pihak-pihak telah bersetuju di luar Mahkamah untuk selesaikan perkara hak jagaan ini secara baik. Masalah timbul adalah apabila pihak sekolah anak memohon Perintah Mahkamah (Hadhanah). Setelah berlaku perceraian, timbul keperluan undang-undang dan syarak siapakah yang akan menguruskan dan menjaga anak-anak ini?
Mahkamah Syariah merupakan pihak berautoriti dalam memutuskan hadhanah/hak jagaan. Pertimbangan utama yang diberikan oleh Mahkamah Syariah ialah:
1. Kebajikan kanak-kanak itu,
2. Kemahuan ibu bapa kanak-kanak; dan
3. Kemahuan kanak-kanak itu sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.
Apabila pihak-pihak telah bercerai, agensi-agensi kerajaan akan memerlukan dokumen Penghakiman Mahkamah Syariah untuk sebarang urusan dengan agensi tersebut seperti Kementerian Pendidikan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Imigresen Malaysia dan lain-lain. Dalam kes yang ada persetujuan pihak-pihak ini, salah satu pihak failkan tuntutan Hak Jagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah terdekat dengan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah ada persetujuan berkenaan hak jagaan dan hak lawatan. Di dalam kes persetujuan bersama, akan diselesaikan dan diendorskan dalam masa satu hari sahaja selepas mendapat tarikh di hadapan Hakim.
4.Bekas isteri telah failkan tuntutan Hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. Apakah asas hukum syarak dan undang-undang Keluarga Islam dalam pengurusan Hadhanah ini sebelum bekas suami memfailkan Penyata Pembelaan?
Asas hukum syarak dan undang-undang Keluarga Islam dalam pengurusan Hadhanah ini adalah:
a. Jika hadhanah/hak jagaan anak diletakkan kepada ibu; bapa diberikan hak akses, bersama, melawat dan bermalam.
b. Jika hadhanah/hak jagaan anak diletakkan kepada bapa; ibu diberikan hak akses, bersama, melawat dan bermalam.
Sifirnya mudah, bila satu pihak dapat hak jagaan, pihak satu lagi akan mendapat hak akses, bersama, melawat dan bermalam.
5. Sekiranya bekas isteri/ibu kandung berkahwin lain, adakah bekas suami/bapa kandung secara automatik mendapat hak hadhanah?
Bapa adalah tidak secara automatik mendapat hak hadhanah anak-anak tersebut. Hal ini kerana, berdasarkan kepada subseksyen 86 (a) ada dijelaskan bahawa sekiranya penjagaannya (setelah berkahwin dengan lelaki lain) akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu, ianya akan terbatal. Namun, sekiranya tidak, ibu kepada anak-anak tersebut masih berhak kepada hadhanah.
Selain itu, bapa juga tidak secara automatik mendapat hak hadhanah kerana mengikut susunan keutamaan dalam subseksyen 84 (2), sekiranya ibu kepada anak-anak tersebut terbukti terlucut hak hadhanahnya, maka nenek (sebelah ibu) adalah terlebih dahulu berhak. Setelah nenek (sebelah ibu) barulah bapa kepada anak-anak tersebut berhak mendapat hak hadhanah.
6. Sekiranya hak hadhanah diberikan kepada bapa, ibu akan mendapat hak lawatan dan lain-lain akses atau tidak?
Sekiranya hak hadhanah diputuskan oleh Mahkamah untuk diserahkan kepada bapa, ibu kepada kanak-kanak tersebut adalah diberikan hak lawatan, hak bermalam, hak berhari raya dan lain-lain akses.
7. Semasa dalam tempoh kes pengurusan hak hadhanah, hak menjaga anak diberikan kepada siapa?
Sekiranya tiada pertikaian tentang hadhanah anak-anak ketika tempoh perbicaraan tuntutan hadhanah, anak-anak tersebut akan kekal berada bersama pihak yang menjaga anak-anak tersebut selepas perceraian. Namun, sekiranya terdapat keterdesakan yang melampau berkaitan kebajikan dan keselamatan anak-anak sepanjang prosiding hadhanah berlangsung, maka pihak yang ingin mendapatkan hak jagaan sementara boleh memfailkan perintah interim.
Pihak-pihak boleh membuat satu permohonan kepada Mahkamah untuk mendapatkan suatu perintah hadhanah sementara/ interim sepanjang tempoh perbicaraan kes Tuntutan Hadhanah.
8. Siapakah yang berhak bagi hadhanah anak tidak sah taraf?
Hak hadhanah atau hak jagaan bagi anak yang tak sah taraf adalah pada ibu atau saudara-mara ibu.
9. Apakah syarat untuk membuat Tuntutan Ubah Perintah Hadhanah?
Syaratnya adalah apabila berlakunya perubahan matan. Sebagai contoh:
- Anak telah mencapai umur 14 tahun dan ingin duduk dengan bapa.
- Semasa anak menyusu badan, Mahkamah telah bagi hak lawatan sahaja. Setelah anak berusia 5 tahun, bapa berhasrat untuk hak bermalam.
- Perintah asal bapa mendapat hak bermalam 1 bulan sekali. Setelah anak masuk sekolah menengah, anak mahu hak bermalam 2 kali sebulan.
- Dalam perintah asal, tiada giliran berhari raya. Timbul masalah sebab perbincangan di luar Mahkamah tidak berjaya.
- Anak telah mencapai umur mumaiyiz, bapa berhasrat untuk hak jagaan
- Dan lain-lain lagi.
Soalan 13 : Pernikahan tanpa izin
1. Apakah hukuman atau denda yang akan dikenakan untuk pasangan yang nikah tanpa izin?
Peruntukan seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 menyatakan bahawa seseorang lelaki dan perempuan yang berkahwin di mana-mana tempat tanpa kebenaran bertulis dari Pendaftar (Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam) atau Hakim Syarie adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Manakala, berdasarkan kepada peruntukan seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 pula, seseorang lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
2. Bagaimana status anak bagi mereka yang difaraqkan?
Kes-kes faraq yang menyebabkan perbubaran perkahwinan yang berlaku di Malaysia kebiasaanya adalah disebabkan keraguan wali atau saksi dalam akad pernikahan tersebut. Kebiasaanya disebabkan keraguan wali, perkahwinan atas bukan kebenaran daripada wali, perkahwinan lari, perkahwinan luar negara atau lebih tepat lagi perkahwinan sendiket.
Anak hasil daripada pasangan yang difaraqkan adalah dikategorikan sebagai anak dari persetubuhan syubhah. bahawa persetubuhan syubhah adalah persetubuhan yang dilakukan dengan aggapan bahawa akad nikah yang dilaksanakan tersebut adalah sah, namun secara hakikatnya adalah sebaliknya. Oleh itu, anak yang terhasil daripada akad nikah yang dianggap sah (hakikatnya tidak sah) adalah dianggap sebagai anak yang terhasil dari persetubuhan syubhah.
3. Adakah anak yang terhasil dari persetubuhan syubhah boleh dinasabkan kepada lelaki yang melakukan persetubuhan syubhah dengan seseorang perempuan yang melahirkan anak tersebut?
Berdasarkan peruntukan seksyen 116, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 yang dirujuk di atas, sekiranya wujud anak yang terhasil dari persetubuhan syubhah, maka lelaki yang melakukan persetubuhan syubhah dengan seseorang perempuan yang melahirkan anak tersebut hendaklah disifatkan sebagai bapa kepada anak itu. Ini bermaksud, anak yang lahir dari persetubuhan syubhah tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut dan lelaki tersebut hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.
Namun, dengan syarat anak tersebut lahir dalam tempoh enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu. Oleh itu, anak hasil daripada pernikahan yang difaraqkan (akad nikah tidak sah) atas sebab persetubuhan syubhah adalah boleh dinasabkan kepada lelaki yang dipertikaikan dalam kes faraq nikah tersebut.
Soalan 14 : Pengesahan perceraian taklik
1. Apakah maksud cerai taklik?
Menurut seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017, "ta'liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen tersebut.
2. Adakah lafaz taklik lisan (ta’liq tambahan) dikategorikan sebagai perceraian di luar mahkamah?
Walaupun lafaz taklik tersebut terjadi di luar mahkamah, namun masih perlu difailkan di bawah Permohonan Pengesahan Cerai Taklik berdasarkan seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 dan bukannya di atas permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah yang biasa.
3.Apakah hak-hak yang boleh dituntut oleh pasangan yang bercerai secara talak taklik?Hak-hak yang boleh dituntut oleh pasangan yang bercerai secara lafaz taklik adalah sebagaimana hak-hak biasa dituntut oleh pasangan yang bercerai dengan cara biasa. Antaranya adalah tuntutan mahar/mas kahwin (yang masih belum dijelaskan), nafkah isteri (tertunggak), nafkah ‘iddah, mut’ah, harta sepencarian, hutang dalam perkahwinan (sekiranya ada), hadhanah, nafkah anak dan lain-lain lagi yang berkaitan. Hak-hak tersebut boleh dirujuk dalam seksyen 57, 58, 58, 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.